Buletin

KIA CARENS 2022 RASMI DI INDONESIA – SUV ENAM/TUJUH TEMPAT DUDUK, PILIHAN ENJIN 1.5NA ATAU 1.4 TURBO

Bertempat di acara Gaikindo Indonesia International Auto Show 2022 (GIIAS), Kia baharu sahaja melancarkan SUV tiga baris tempat duduk Kia Carens generasi baharu.

Ia muncul buat pertama kali di pasaran India pada penghujung tahun 2021 yang lalu, dan dilihat mampu mencabar pesaing di dalam segmen LMPV di Indonesia seperti Toyota Veloz, Honda BR-V, Mitsubishi Xpander dan juga Hyundai Stargazer.

Kia mendatangkan dua pilihan enjin untuk model Carens. Versi asas boleh didapati dengan enjin 1.5 liter NA Smartstream Gamma II yang mampu menjana kuasa 115 PS dan 144 Nm, serta padanan transmisi CVT.

Versi enam tempat duduk pula didatangkan dengan enjin yang lebih berkuasa, iaitu nadi 1.4 liter turbo Kappa dengan kuasa 140 PS dan 242 Nm, dipadankan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan.

Tidak seperti kebanyakan pesaing, Kia Carens mendapat sistem gantungan yang lebih maju terdiri daripada topang MacPherson di depan dan multilink di belakang.

Antara ciri standard pada Kia Carens termasuklah kehadiran unit lampu LED depan dan belakang, lampu DRL LED, rim 16 inci, serta bumbung suria berkuasa.

Sementara ruang kabin pula menempatkan kelengkapan seperti skrin kluster digital 4.2 inci, skrin infotainmen lapan inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk hadapan dengan ciri ventilasi, upholsteri kulit palsu, serta tirai penghadang cahaya matahari untuk baris kedua.

Ciri kemudahan moden termasuklah slot pengecasan nirwayar, sistem audio premium Bose dengan 8 pembesar suara, sistem pendingin hawa automatik, serta corong tambahan untuk penumpang baris belakang.

Ciri keselamatan yang dimuatkan secara standard adalah enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Brek Menurun Cerun, ESC, sistem pemantauan tekanan tayar, serta kawalan jelajah.

Kia Carens versi tujuh tempat duduk dijual pada harga Rp 389,000,000 (RM118k) sementara versi enam tempat duduk dengan enjin 1.4 Turbo pula bermula dari Rp 449,000,000 (RM136k).

Google ads
Back to top button