Buletin

MODE EKONOMI JADI TETAPAN DEFAULT TRAK SCANIA. LEBIH JIMAT DAN KURANG EMISI CO2

Mode Ekonomi akan menjadi tetapan default untuk semua trak dan koc Scania baharu yang dilengkapi ciri Opticruise bermula tahun 2021. 

Ia bertujuan memastikan pelanggan menikmati penjimatan bahan api dan pengurangan pelepasan CO2 selaras dengan inisiatif Sasaran Berasaskan Sains Scania. Biarpun begitu, pemandu masih boleh menukar mode ekonomi ke mod prestasi lain bergantung pada keperluan. 

Pelanggan Scania yang membeli trak atau koc sebelum tahun 2021 boleh menetapkan Mod Ekonomi sebagai pilihan default di mana-mana bengkel sah Scania di seluruh negara. Kos buruh akan dikecualikan sehingga 31 Dis 2022. Justeru, pelanggan digalakkan menghantar trak dan koc mereka secepat mungkin untuk mendapatkan tawaran tersebut. 

Untuk makluman, mode ekonomi adalah salah satu daripada beberapa inisiatif yang sejajar dengan matlamat Scania untuk mencapai sasaran berasaskan sains SBTi menjelang 2025. Mengurangkan jejak karbon dalam operasi Scania sebanyak 50 peratus dan kenderaan pelanggan Scania sebanyak 20 peratus.

Langkah ini bertujuan mengurangkan peningkatan suhu global selaras dengan komitmen Scania dalam Perjanjian Paris 2015 – mengehadkan pemanasan global hingga di bawah 2°C melebihi paras praindustri dan meneruskan usaha untuk mengehadkannya ke 1.5°C.

Trak Scania dalam penggunaan Kontena Penghantaran boleh mencapai penggunaan bahan api terbaik hingga 4.0 km/liter dan pengurangan pelepasan CO2 0.82kg/km. Untuk penggunaan Pengangkutan Pukal pula, penggunaan bahan api adalah sekitar 3.6 km/liter dengan pelepasan CO2 0.81 kg/km. 

Penggunaan bahan api untuk Kargo Am ialah 3.6 km/liter dengan pelepasan CO2 hanya 0.77 kg/km. Bagi Traktor Jongket (Tipper), penggunaan bahan apinya 2.0 km/liter dan pelepasan CO2 cuma 0.93 kg/km.

Mode ekonomi serta penyelesaian menyeluruh Scania seperti Instalment Plan R&M7 dapat membantu pengendali mencapai penjimatan dari segi bahan api dan mengurangkan pelepasan CO2 secara konsisten.

Pelanggan yang memilih untuk tidak menggunakan tetapan default mode ekonomi boleh berbuat demikian sebelum atau selepas menerima kenderaan Scania baharu mereka. 

Jika sebelum penghantaran, pelanggan perlu memaklumkan wakil jualan Scania. Tetapi jika selepas penyerahan, pelanggan boleh menghantar kenderaan ke mana-mana bengkel Scania untuk mengubah tetapan mengikut pilihan mereka. Kos buruh akan dikenakan.

Google ads
Back to top button