Motosikal

SKUTER MAXI BMW C 400 X & BMW C 400 GT 2021 KINI DI MALAYSIA. BULANAN BERMULA RM550

BMW Motorrad Malaysia baru-baru ini melancarkan skuter maxi BMW C 400 X dan BMW C 400 GT ke pasaran tempatan.

Kedua-dua jentera itu tampil dengan komponen trim berbentuk V yang lebih aerodinamik, lampu utama LED besar dan lampu nyalaan siang (DRL). Rekaan pelana yang ergonomik menawarkan keselesaan sepanjang tunggangan.

Penunggang boleh menyimpan barangan peribadi di dalam ruang Flexcase dengan lampu dan soket 12V. Kompartmen muatan di sebelah kanan hadapan juga dilengkapi slot USB.

Kedua-dua model berkenaan dikuasakan oleh enjin silinder tunggal berkapasiti 350cc. Ia mampu menjana kuasa 34hp pada 7,500rpm dan tork 35Nm pada 5,750rpm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menerusi kotak gear CVT bersama  torsional drivetrain swing arm untuk getaran yang minimum.

Selain mematuhi piawaian EU-5, unit pacuan tersebut menawarkan maklum balas yang responsif. Enjin itu didatangkan dengan cengkaman pendikit elektronik E-gas) dan injap pendikit yang dioperasikan secara elektrik.

Aspek keselamatan dipertingkatkan dengan Kawalan Stabiliti Automatik (ASC) terutama ketika menunggang di atas permukaan yang basah dan licin. Skuter itu masih menggunakan suspensi teleskopik di hadapan dan pegas gegelung berkembar di belakang.

Sistem brek diperbaharui dengan angkup brek dan cakera berkembar, selain ABS sebagai standard.

Maklumat tunggangan dipaparkan menerusi skrin TFT bersaiz 6.5 inci. BMW Motorrad Multi-Controller membolehkan penunggang mengakses pelbagai fungsi skuter dan ketersambungan dengan peranti pintar.

Tugas navigasi semakin mudah dengan aplikasi BMW Motorrad Connected. BMW C 400 X dan BMW C 400 GT turut hadir dengan ciri tanpa kunci yang berfungsi mengaktifkan transponder untuk mengunci stereng, penghidup enjin, tangki dan peranti anti-kecurian.

BMW C 400 X didatangkan dalam warna hitam. Manakala BMW C 400 GT pula hadir dalam tiga warna iaitu hitam, kelabu dan putih.

Dengan Pelan Pembiayaan yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW C 400 X dan BMW C 400 GT boleh dimiliki bermula RM550 dan RM590 sebulan. Ini  berdasarkan ‘balloon financing’ untuk pinjaman sebanyak 80 peratus bagi tempoh 4 tahun.

BMW C 400 X ditawarkan pada harga RM44,500. Manakala BMW C 400 GT berharga RM48,500 (di atas jalan, tanpa insurans, jaminan selama dan program bantuan tepi jalan selama tiga tahun).   

GALERI

Google ads
Back to top button