
PELANGGAN SERBU BILIK PAMERAN CHEVROLET DI THAILAND. HARGA CAPTIVA RM66.5K SAHAJA
Orang ramai dilihat menyerbu bilik-bilik pameran Chevrolet di Thailand semalam untuk membeli pelbagai model yang dijual pada diskaun tinggi.
Situasi itu berlaku selepas General Motors mengumumkan bahawa ia akan keluar dari pasaran tersebut menjelang hujung tahun ini. Boleh dikatakan semua bilik pameran jenama Amerika itu dipenuhi pelanggan apabila ada model yang dijual lebih separuh harga.
Sebagai contoh, SUV Captiva baharu 1.5 LS Turbo kini dijual pada harga 499,000 baht (RM66,500) berbanding harga asalnya sekitar 999,000 baht (RM133,300) seunit. Captiva merupakan model terlaris Chevrolet di sana.
Manakala harga trak pikap Colorado Trailboss MT 2WD pula turun daripada 859,000 baht (RM114,600) kepada 655,000 baht (RM97,400).
“Bilik pameran Bang Jak buat masa sekarang tidak lagi menjual Captiva. Kami akan maklumkan sekiranya ada stok,” tulis satu notis pengedar di Bang Chak di laman Facebook mereka.
Pengurus Jualan di Pattaya, Surat Chunaka memberitahu dia tidak lagi menerima tempahan untuk Captiva. Tetapi model-model lain masih ada. Menurutnya, bilik pameran itu sudah menjual lebih 100 unit kenderaan pada Rabu kepada pelanggan tempatan dan asing.
Pelanggan perlu memberi deposit untuk tempahan dan membayar bakinya pada hari penghantaran. Kempen jualan dibuat berikutan keputusan GM untuk tidak lagi menjual kereta Chevrolet di Thailand. Ia juga telah menjual kilangnya di Rayong kepada pengeluar kenderaan China, Great Wall Motors menjelang akhir tahun ini.
Dianggarkan seramai 1,500 kakitangan akan hilang kerja selepas GM menutup operasinya di Thailand, Australia dan New Zealand. Dalam satu mesej di Facebook, GM Thailand memberitahu buat masa sekarang, servis akan terus dilakukan, tanpa menyatakan bilakah ia akan dihentikan sepenuhnya.
Pengurus firma penyelidikan LMC Automotive, Titikorn Lertsirirungsun menyatakan GM akan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan untuk para pemilk kenderaan Chevrolet di Thailand bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, bergantung kepada stok alat ganti. – Bangkok Post