Buletin

MOON POWER KINI DI MALAYSIA. TAWAR WALLBOX UNTUK PELANGGAN E-TRON, PASANG AC DAN DC DI 3 AUDI CENTRE

Sewaktu pelancaran rangkaian model elektrik (EV) Audi e-tron ke pasaran tempatan, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) turut mengumumkan bahawa pihaknya telah bekerjasama dengan penyedia penyelesaian tenaga Eropah, MOON POWER untuk menyokong aspek pengecasan buat pemilik e-tron di negara ini. 

MOON POWER ialah sebuah anak syarikat Porsche Holdings Salzburg (PHS), sekali gus menandakan kemasukan pertama jenama itu di pasaran luar Eropah. 

Pelanggan e-tron akan diberi pilihan untuk membeli pengecas wallbox MOON POWER berkapasiti 11kW dan 22kW bermula September 2023.

Apabila ditanya, pengecas wallbox MOON POWER berkapasiti 11kW mungkin akan dijual pada harga sekitar RM6,000 hingga RM7,000 seunit. Manakala varian berkapasiti 22kW berharga kira-kira RM8,000.

Setiap unit wallbox MOON POWER telahpun menjalani kawalan kualiti yang ketat demi memenuhi piawaian pengecasan dan keselamatan Audi.

Bagi persediaan pelancaran tersebut, kesemua tiga Audi Centre di Glenmarie, Setia Alam dan Juru telah dipasang dengan pengecas MOON POWER. Setiap Pusat itu menyediakan tiga unit pengecas AC 22kW dan satu pengecas DC 180 kW. Pusat berkenaan akan menawarkan pengecasan eksklusif untuk para pemilik Audi e-tron. 

Semua model Audi e-tron hadir standard dengan jaminan tanpa had perbatuan selama dua tahun, jaminan bateri selama 8 tahun atau jarak sejauh 160,000km dan bantuan tepi jalan percuma selama 5 tahun. 

Pelanggan juga boleh mendapatkan Pakej Jaminan Audi (Audi Assurance Package, AAP) yang menawarkan jaminan tambahan dan penyelenggaraan selama 3 tahun dengan selang servis 15,000km.

Maklumat lanjut mengenai rangkaian model e-tron, kunjungi Audi Centre terdekat atau layari laman web www.audi.com.my

Google ads
Back to top button