
MORGAN SUPER 3 MALLE RALLY SPECIAL – MODEL ISTIMEWA DARIPADA MORGAN & MALLE
Morgan dan Malle London meneruskan kerjasama yang cukup berjaya dengan pengenalan rekaan bersama model Super 3 Malle Rally Special, yang bakal dihantar kepada pelanggan kelak lengkap dengan Koleksi Pemandu meliputi pakaian dan aksesori Morgan x Malle. Malah ianya juga sebagai persediaan untuk penyertaan ke salah satu acara Malle Rally pada masa hadapan.
Model istimewa yang rare ini telah dilancarkan di Festival Malle Mile di Lincolnshire. Morgan Super 3 Malle Rally Special bagi meraikan semangat pengembaraan Super 3 dan merangkumi falsafah Malle London Prepared To Get Lost . Pengenalan model yang cukup istimewa sebagai tanda kerjasama diantara kedua syarikat yang mana kenderaan ini telah pun ditauliahkan untuk menjalani pengembaraan di seluruh United Kingdom dan juga Eropah.

Morgan Super 3 Malle Rally Special ditawarkan dengan tiga pilihan warna, Kuning, Merah dan juga Hitam, yang mana setiap satunya mencerminkan warna jenama Malle. Reka bentuk yang tersendiri dicirikan dengan rekaan grafik yang ditauliahkan khas bagi menghiasi kenderaan. Direka bersama oleh kedua-dua syarikat British, rekaan grafik tersebut menggabungkan reka bentuk peta topografi yang bersempena dengan jalan pergunungan British kegemaran Malle, grafik Union Flag dan tagline ‘Prepared To Get Lost’ pada penutup but belakang.
Manakala beberapa ciri moden turut dilengkapkan terhadap kenderaan ini seperti tempat pengecasan USB, ruang penyimpanan, sistem navigasi Beeline, rak bagasi belakang, sistem pemanasan tempat duduk dan juga pemegang cawan.

Spesifikasi trenkuasa menggunakan nadi daripada Ford, 1.5 liter tiga silinder yang mampu menghasilkan kuasa sekitar 118 kuasa kuda yang dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan daripada Mazda Maita.
Pemiliknya kelak akan diundang untuk menyertai Malle Rally pada masa hadapan yang mana mereka akan melalui pengalaman pengembaraan yang tidak dapat dilupakan selama seminggu bersama kereta mereka ini. Acara rali ini meliputi The Great Malle Rally, UK, The Great Malle Mountain Rally Europe dan juga The Great Malle Arctic Rally.
Sebagai contoh, perjalanan melalui United Kingdom meliputi laluan sejauh 1,500 batu dari hujung Selatan pulau ke bahagian paling atas. Perjalanan Alpine pula akan melalui enam negara Eropah selama enam hari.

Selain daripada itu, pemiliknya juga berpeluang untuk mengunjungi ibu pejabat Morgan yang terletak di Malvern, England bagi melihatkan sendiri depan mata proses pembuatannya.
Pemiliknya juga kelak akan diberikan juga koleksi istimewa daripada Morgan x Malle seperti jaket buatan tangan kalis angin dan juga kalir air.
Morgan Super 3 Malle Rally ini boleh dibeli dengan harga sekitar £54,995 (RM321, 566). Bukan setakat memperolehi kenderaan beroda tiga yang rare ini, tapi juga peluang pengalaman seumur hidup untuk menjelajah bersamanya.