MOTOGP: MAVERICK VINALES MENANG DI COTA, LAKAR REKOD BAHARU
Pelumba Aprilia, Maverick Vinales, melakar rekod baharu selepas berjaya memenangi perlumbaan di Circuit of the Americas (COTA) pada Ahad.
Vinales muncul pelumba pertama yang berjaya menang perlumbaan MotoGP dengan tiga pengeluar berbeza dalam era MotoGP selepas melakukannya bersama Suzuki (1), Yamaha (8) dan kini bersama Aprilia.
Pelumba Sepanyol itu juga merupakan hanya yang kelima dalam sejarah untuk mekalukannya dengan tiga jenama berbeza.
Sebelum itu, Vinales turut melakar kemenangan di perlumbaan Sprint yang berlangsung pada Sabtu sekaligus mengulangi kemenangan yang sama pada pusingan sebelumnya di Portimao.
Walaupun bermula di petak pertama, Vinales terkeluar dari kelompok 10 terbaik sebaik perlumbaan bermula namun kembali memintas pelumba lain untuk berada di belakang kelompok depan yang diterajui Pedro Acosta (GasGas), Marc Marquez (Gresini), Jorge Martin (Pramac) dan Francesco Bagnaia (Ducati).
Namun, Vinales bijak mencuri peluang selepas Marquez kemalangan untuk memintas Bagnaia, Martin dan akhir sekali Acosta untuk terus mendahului perlumbaan sehingga ke lap terakhir. Tempat kedua jadi milik Pedro Acosta dan Enea Bastianini (Ducati) melengkapkan podium di tempat ketiga.
Sementara itu, juara musim lalu, Bagnaia gagal menaiki podium untuk dua pusingan berturut-turut selepas sekadar menamatkan aksi di kedudukan kelima. Walaupun memberi saingan sengit di awal perlumbaan namun dia bergelut meneruskan momentum di akhir perlumbaan.
Dalam pada itu, pelumba lain yang turut berpeluang untuk melakar sejarah sama seperti Vinales musim ini termasuk Alex Rins dan Jack Miller. Rins pernah menang bersama Suzuki dan Honda dan musim ini bersama Yamaha sementara Miller pernah menang bersama Honda dan Ducati dan musim ini bersama KTM.
Menariknya, pelumba legenda seperti Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo antara yang gagal menempah sejarah sama seperti Vinales.