Motosikal

RASMI: HONDA HENTIKAN PENGELUARAN CBR600RR

Honda mungkin bertindak berani dengan mengeluarkan kenyataan untuk tidak meneruskan legasi CBR600RR. Ya. Ia sudah jadi berita rasmi apabila Pengarah Perhubungan Awam Honda Perancis, Bruno Chemin memberi kenyataan dalam temuramah kepada penerbitan Moto Revue baru-baru ini.

Khabar angin ini bertiup kencang sejak beberapa bulan lepas apabila regulasi baru Euro 4 dibentangkan. Sudah jelas yang Honda fikir tidak balik modal untuk bina semula enjin 600cc 4 selinder mengikut regulasi baru ini kerana kos R&D yang besar. Sedangkan pasaran 600cc memang sedang mengecil setiap tahun.

CBR 600RR (1)

Beliau memberitahu pemberhentian produksi 600RR ini adalah berdasarkan 2 sebab utama. Pertama penurunan permintaan yang ketara sejak tahun 2011 dan model ini tidak lagi menjadi jualan tertinggi Honda semenjak zaman gemilangnya pada 90-an.

Faktor keduanya ialah pematuhan spesifikasi Euro 4 yang baru. Menurut beliau, Honda boleh sahaja merombak semula enjin sedia ada untuk menepati piawaian baru namun ia memakan belanja yang besar. Pilihan lain yang mereka ada ialah membina enjin baru dari platform Fireblade 1000RR tetapi itu juga tidak ekonomikal memandangkan kos akan dipindahkan pada model tersebut.

Honda CBR600RR

Selepas berbincang dengan prinsipal pengeluar di Jepun, mereka mengambil keputusan muktamad untuk menghentikan terus pasaran ini. Beliau juga tidak memberi sebarang komen tentang Kawasaki, Suzuki dan Yamaha yang masih memasarkan ZXR, GSX-R dan YZF-R6. Dalam masa yang sama, beliau juga tidak menolak akan kembali ke pasaran ini, semuanya bergantung pada keadaan semasa.

“CBR600 masih dijual selagi stok keluaran masih ada. Ia akan di jual di Amerika Utara dan model piawai Euro3 ini diberi perlepasan istimewa sehingga unit tersebut habis sepenuhnya. Dijangkakan jumlah keseluruhannya kurang dari 10 peratus dari unit jualan asal”

CBR 600RR (3)

Buat masa ini, Honda fokus pada pengeluaran CBR1000 dan model 600RR akan digantikan dengan CBR500R dan CBR650F. Ia pilihan 2 selinder dan 4 selinder. Bagaimanapun, jentera ini dilihat kurang jiwa dan DNA 600RR.

Ia keputusan yang sukar, CBR600RR adalah produk teras Honda lebih kurang 30 tahun rasanya. Kehilangannya memang akan dirasai tapi…

Siapa peduli kan? Kalau pergi konvoi pun jarang sangat dah nak jumpa 600CC ni. Semenjak motor recond banyak dijual, nak beli 1000CC tidak lagi kena jual pinggang macam dulu.

 

 

 

 

Google ads
Back to top button