Motosikal

YAMAHA Y15ZR EDISI TERHAD GP MOVISTAR 2016

Hong Leong Yamaha ada tradisi unik bagi “merayakan” sambutan MotoGP tempatan. Sejak dari zaman Yamaha LC135 ES (Extreme Spirit), Yamaha telah mengeluarkan edisi khas berbeza setiap tahun.

Selepas memperkenalkan Y15ZR sebagai flagship moped baru mereka, model ini dipilih untuk membawa imej MotGP. Tahun lepas, tema warna biru GP atau dikenali dengan nama edisi Movistar mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Tu yang sampai kedai mark-up harga meninggal dunia. Edisi ni kalau dijual balik pun harganya memang boleh bertahan.

Bagi musim 2016, edisi baru Movistar sudah mula diedarkan ke premis Yamaha. Sudah tentu, ia akan digilai oleh peminat MotoGP dan pengikut setia Valentino Rossi. Sekali imbas, edisi Movistar 2016 ini tak nampak begitu ketara perubahannya namun jika diperhatikan dengan teliti terdapat beberapa kemasan kecil diberikan.

Y15ZR Movistar 2015
Y15ZR Movistar 2015

Saya kira edisi Movistar 2015 memang sudah cukup sporty dan garang dengan badan dan rim biru. Untuk versi 2016, ia masih menggunakan keseluruhan warna badan biru kecuali bahagian “inner” tengah di bawah tempat pemegang bakul motosikal, di atas penutup sistem suntikan.

Bahagian ini ditinggalkan dengan warna perak. Bagi merapikan lagi, rekabentuk tepi juga dilaras dengan warna perak sama pada bahagian penutup sisi berhampiran perehat kaki pebonceng belakang.

Skema pelekat juga diubah beberapa posisi. Bahagian fairing bawah yang dahulunya dengan pelekat YAMAHA LUBE telah digantikan dengan pelekat ENEOS, penaja baru pasukan Perlumbaan Yamaha tahun ini.

y15ZR 2016
Y15ZR Movistar edisi 2016

Logo “M” yang mewakili Movistar masih di posisi asal. Logo SEMAKIN DIDEPAN diletak di bahagian sisi fairing dan kemasan garis grafik dan logo Y15ZR berubah kepada saiz lebih kecil di bahagian penutup badan sisi. Secara keseluruhannya, ia masih menggunakan skema warna Movistar 2015, cuma pelekat grafik sahaja yang direka semula.

Rim identikal biru GP itu juga masih sama. Begitu juga dengan suspensi monoshock dengan pegas gegelung kuning yang membezakan varian Movistar dengan model Y15ZR yang lain. Untuk rekod, Yamaha baru sahaja melancarkan warna ungu/kelabu pada Julai lepas.

Harga jualan Y15ZR masih lagi sama RM8,200 hingga RM8,500 untuk model biasa dan sekitar RM9,000 – RM9,500 untuk Movistar harga yang kami sendiri lihat di pasaran. Ya, harga motor sangat aneh sebab macam tiada kawalan, suka-suka je diorang nak mark-up berapa yang dia suka.

 

sumber

facebook beast moped community

Google ads
Back to top button