Buletin

AUDI A4 2.0 TFSI – RM239,900 UNTUK 100 UNIT PERTAMA

Audi Malaysia hari ini melancarkan Audi A4 sedan yang kini dilengkapi enjin 2.0 TFSI.  Harus tahu bahawa Audi A4 ialah model yang sangat penting untuk jenama Audi.  

Audi-A4-Malaysia-2016-mekanika (7)

Popularitinya membuatkan Audi A4 sebagai model Audi paling laris di hampir semua pasaran di seluruh dunia. Selepas lapan generasi dan hampir 40 tahun kemudian, Audi A4 terus membuktikan pemikiran progresif dan kejuruteraan inovatif Audi yang boleh diakses serta revolusionari.

Sudah memasuki generasi kesembilan, Audi A4 dilihat terus menetapkan penanda aras di dalam kelasnya.

Audi-A4-Malaysia-2016-mekanika (5)

“Audi A4 merupakan definisi kepada jenama Audi. Kami ingin memperkenalkan A4 yang lebih besar dalam semua aspek. Tetapi pada masa yang sama lebih ringan, lincah, berkuasa, seronok dipandu dan menjimatkan bahan api,” kata Pengarah Pemasaran Audi Malaysia, Rudi Venter.

Audi A4 menampilkan perkadaran yang seimbang dan harmoni, bersama elemen reka bentuk yang penuh fungsi serta sporty. Bahagian hadapan Audi A4 hadir dengan kerangka yang lebar. Didominasi oleh gril signatur Audi, Singleframe bersama lampu utama LED yang tersendiri.

Audi-A4-Malaysia-2016-mekanika (2)

Di bahagian belakang pula, lampu LED didatangkan dengan indikator dinamik sebagai satu ciri standard. Audi A4 adalah 120kg lebih ringan berbanding model terdahulu. Ini adalah hasil gabungan bijak di antara reka bentuk dan material yang ringan, menjadikannya kenderaan paling ringan dalam kelasnya.

Cermin sisi kini diletakkan di atas bahu kereta dan bukannya pada tiang A. Memberikannya gaya lebih sporty yang sebelum ini hanya boleh dilihat pada model Audi TT dan R8. Ia juga meningkatkan aspek aerodinamik dengan catatan pekali seretan hanya 0.26.

Audi-A4-Malaysia-2016-mekanika (6)

Audi A4 2.0 TFSI dikuasakan oleh enjin empat silinder TFSI bersesaran 2.0 liter.  Dipadankan dengan kotak gear S tronic tujuh kelajuan, ia mampu menjana kuasa mencecah 190hp dan tork maksimum 320Nm dari putaran enjin serendah 1,450 hingga 4,200rpm. Ini membolehkan Audi A4 2.0 TFSI memecut dari 0-100 km/h dalam masa hanya 7.3 saat dengan kelajuan maksimum 240km/j.

Di sebalik prestasi itu, Audi A4 2.0 TFSI tetap dapat mengekalkan penjimatan bahan api. Gabungan penggunaan bahan api cuma 5.0 liter/100km dengan catatan emisi CO2 112g/km.

Audi-A4-Malaysia-2016-mekanika (11)

Dibina di atas platform MLB-Evo baharu yang turut digunakan pada model SUV Audi Q7, casis Audi A4 berfungsi secara harmoni dengan sistem stereng elektromekanikal dan suspensi adaptif lima sambungan bersama kawalan peredam untuk menyerap segala ketidaksempurnaan permukaan jalan raya.

Sama seperti semua kenderaan Audi, ciri Audi drive select hadir sebagai satu ciri standard. Ia membolehkan talaan suspensi, enjin dan rangkaian kuasa dibuat bagi disesuaikan dengan kecenderungan pemandu serta kondisi jalan raya.

Audi-A4-Malaysia-2016-mekanika (9)

Audi A4 juga dilengkapi pelbagai ciri elektronik demi menawarkan pengalaman pemanduan yang efisien dan selamat. Ini termasuklah sistem start/stop dengan janaan semula tenaga, Electronic Stabilisation Control (ESC), Traction Control (ASR), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Electronic Differential Lock (EDL), bantuan parkir dengan pilihan paparan, Sistem Brek Anti-Kunci dan enam beg udara.

Dengan kabin yang kini 12mm lebih panjang dan 16mm lebih lebar, Audi A4 bukan sahaja luas, malah lebih halus buatannya berbanding model terdahulu. Bahagian tengah papan pemuka dihuni oleh MMI® radio plus yang terdiri daripada skrin bersaiz 7 inci dan sistem bunyi Audi dengan amplifier 6 saluran serta 10 unit pembesar suara berkuasa 180 watt.

Audi-A4-Malaysia-2016-mekanika (4)

Pelanggan boleh memilih sama ada dial analog standard yang digabungkan dengan TFT Audi Driver Information System (DIS) bersama paparan berwarna bersaiz 7 inci atau kokpit maya Audi yang didatangkan bersama pakej Technology sebagai pilihan.

Tempat duduk belakang boleh dilipat dengan konfigurasi 40:20:40. Konfigurasi itu membolehkan ruang but ditingkatkan daripada 480 liter menjadi 965 liter.

Audi-A4-Malaysia-2016-mekanika (15)

“Kami akan memperkenalkan model asas 1.4 TFSI dan varian 2.0 quattro yang berorientasikan kepada prestasi pada Januari 2017. Apabila diperkenalkan pada tahun 2009, Audi A4 generasi kelapan merupakan pemangkin kepada pertumbuhan memberangsangkan jenama Audi di Malaysia,” kata Venter lagi.

Audi A4 2.0 TFSI serba baharu hadir dalam sepuluh warna termasuklah putih, perak, merah, coklat, biru, kelabu, dan hitam. Warna kelabu (Daytona Grey) mutiara ditawarkan untuk model yang dibeli bersama pakej S line.

Audi A4 2.0 TFSI boleh didapati mulai esok di semua pengedar sah Audi di seluruh negara. Ia ditawarkan pada harga bermula RM248,900 seunit. Sebanyak  100 unit pertama akan ditawarkan dengan harga pengenalan RM239,900 seunit, sama seperti harga model terdahulu.

Audi-A4-Malaysia-2016-mekanika (1)

Terdapat dua pakej pilihan ditawarkan untuk Audi A4 2.0 TFSI iaitu pakej S Line dan Technology. Pakej S line yang sporty terdiri daripada bampar hadapan dan belakang yang agresif, rim aloi dengan reka bentuk lima jejari bintang berkembar bersaiz 18 inci, kemasan sil pintu beriluminasi bersama kemasan aluminium, tempat duduk sports dibalut kulit Alcantara berwarna hitam, stereng sport S line dibalut kulit serta pelbagi ciri sporty yang lain dengan tambahan RM25,000.

Sementara pakej Technology yang mula ditawarkan pada Oktober pula merangkumi lampu utama LED Matrix bersama indikator dinamik pada bahagian hadapannya. Di samping MMI Navigation plus dengan papan sentuh MMI, kokpit maya Audi, antara muka telefon pintar Audi untuk Apple Carplay dan Android Auto,  Audi Connect serta kamera undur.

Google ads
Back to top button