
MPV BARU PERODUA D27, APA YANG KITA TAHU SETAKAT INI
Perodua Alza merupakan percubaan pertama Perodua dalam menghasilkan MPV dilancarkan 11 tahun yang lepas iaitu pada 23 November 2009. Ia menerima proses naiktaraf yang pertama pada tahun 2014 diikuti proses naiktaraf kedua pada tahun 2018. Namun dari segi mekanikal ia masih mengekalkan enjin 1500cc DVVT, 2 beg udara serta ditawarkan dengan sistem brek ABS bagi varian tertinggi
Pada tahun 2017 GIIAS (Gaikindo Indonesia International Auto Show), Daihatsu telah mendedahkan model pengganti Daihatsu Xenia dan juga Perodua Avanza. Kami senaraikan beberapa maklumat yang kami tahu berkenaan model pengganti Perodua Alza setakat ini.
1. Konsep – ketika pameran GIIAS 2017 juga menyaksikan Daihatsu memperkenalkan model konsep yang dikenali sebagai DN Multi Six. Menurut sumber Otosia.com, DN Multi Six memiliki panjang keseluruhan 4310mm, lebar 1720mm serta tinggi maksima 1695mm. Jarak ketinggian cesi dari permukaan jalan ialah 250mm bagi memudahakan pengguna di Indonesia
Jarak antara roda pula ditetapkan pada 2620mm. Secara keseluruhan model ini sebenarnya lebih kecil berbanding dengan Alza yang memiliki panjang 4205mm, lebar 1695mm serta tinggi maksima 1620mm. Jarak antara roda Alza juga lebih besar pada 2750mm. Jadi agak munasabah apabila konsep baru ini lebih sesuai untuk 6 penumpang sahaja

2. Platform – menurut sumber tidak rasmi, projek ini dikenali dengan kod projek D27A sedang dibangunkan dengan menggunakan DNGA (Daihatsu New Global Architecture) dengan rekaan platform yang hampir sama dengan D55L. Namun dari segi ukuran, jarak antara roda D55L ditetapkan pada 2525mm
3. Trenkuasa- kelebihan menggunakan platform yang sama dengan D55L ialah ia membolehkan Daihatsu menggunakan sistem trenkuasa yang sama iaitu enjin 3 silinder 1000cc dengan bantuan turbo yang menghasilkan 97 kuasa kuda dan 147Nm tork.
Secara perbandingan enjin 1500cc DVVT yang lama menghasilkan 102 kuasa kuda dan 136Nm tork. Pilihan trenkuasa pula ialah transmisi D-CVT yang dibangunkan sendiri oleh Daihatsu/Toyota.

4. Keselamatan- dari aspek keselamatan kami yakin berdasarkan trend terkini oleh Perodua, MPV D27A ini akan dilengkapkan dengan sistem ASA yang merangkumi amaran pra-perlanggaran dengan keupayaan mengesan pejalan kaki, brek pra-perlanggaran sehingga halaju 100km/h, Front Departure Alert, dan Pedal Misoperation Control
Namun kami lebih suka jika MPV D27A ini dilengkapkan dengan sistem amaran titik buta serta sistem amaran lintasan belakang. Kami juga menjangkakan model ini akan ditawarkan dengan lampu depan dengan teknologi LED