
COVID-19: TEMPOH KUARANTIN PENGEMBARA, KONTAK RAPAT DIPENDEKKAN KEPADA 10 HARI
Tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat di Malaysia dikurangkan daripada 14 hari kepada 10 hari bermula hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia terpakai bagi perintah pengawasan dan pemerhatian di pusat kuarantin yang diwartakan atau di tempat kediaman.
“Semakan bukti saintifik klinikal terkini mendapati bahawa risiko jangkitan pasca-kuarantin akan berkurangan mengikut tempoh masa kuarantin.
“Kadar kebolehjangkitan adalah tertinggi pada minggu pertama selepas pendedahan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai situasi semasa Covid-19.
Beliau berkata sehingga kini, beberapa negara telah menyemak semula tempoh kuarantin wajib masing-masing.
“United Kingdom, Jerman dan Belgium telah menurunkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 10 hari manakala Perancis pula telah mengambil tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam sidang media pada 4 Disember lepas telah mengumumkan untuk mengkaji langkah memendekkan tempoh kuarantin di Malaysia ke atas prosedur pengurusan kuarantin wajib kepada pengembara yang pulang dari luar negara dan kontak rapat kepada kes yang disahkan positif Covid-19.
Katanya, ini adalah selaras dengan situasi semasa COVID-19 di Malaysia dan laporan klinikal terkini dari seluruh dunia. – Bernama
- BACA: COVID-19: KREW PENERBANGAN CHINA DINASIHAT GUNA LAMPIN PAKAI BUANG
- BACA: BETUL KE SUSAH JUAL KERETA ZAMAN COVID-19 NI? KITA TANYA TOP SALES DEALER PROTON, SETIA GEMILANG AUTO
- BACA: TRAK SEJUK BEKU MASIH ‘PERAM’ HAMPIR 700 MAYAT PESAKIT COVID-19 DI NEW YORK
- BACA: 7 SAMDOL BELI LAMBORGHINI DAN PORSCHE DITAHAN – SALAH GUNA PINJAMAN BANTUAN COVID-19