Buletin

MYVI MODEL KERETA TERPAKAI PALING LARIS

Permintaan memberangsangkan untuk kenderaan terpakai berterusan ke suku ketiga tahun ini dengan para peniaga terus mencatatkan pemulihan penjualan yang mantap, dipacu oleh insentif moratorium dan cukai kerajaan.

Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) Datuk Tony Khor berkata kereta terpakai yang paling laris terjual di pasaran merupakan Perodua Myvi.

“Model itulah yang paling dicari. Myvi adalah yang nombor satu.

“Perniagaan sememangnya rancak, terutama kereta terpakai perbatuan rendah yang paling laris. Contohnya Myvi, model ini cuma bertahan beberapa jam sahaja dan tidak berada lama di lot wakil penjual sehingga jarang muncul di iklan.

“Biasanya, Myvi (datang) masuk dan (pergi) keluar sangat cepat. Untuk model yang sangat laku, kami tidak perlu berusaha keras untuk mengiklankannya. Permintaan untuk Myvi turut memastikan bahawa nilai penjualan semula model itu masih tinggi.

Katanya lagi, varian popular lain termasuk Vios (Toyota), City (Honda), Saga dan Persona (Proton).

Beliau menambah permintaan yang banyak untuk kereta terpakai semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ialah kereta-kereta yang nilai puratanya antara RM30,000 hingga RM40,000.

“Kenderaan terpakai telah menjadi komoditi terlaris industri kerana pengguna lebih suka memandu kereta sendiri semasa pandemik Covid-19 dan membeli kereta terpakai untuk menjimatkan wang dalam situasi ekonomi tidak menentu ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata penjualan tahun ke tahun untuk bulan Julai melonjak melebihi 25 peratus kepada 37,800 unit, sementara untuk bulan Ogos dan September, masing-masing mencatatkan pertumbuhan melebihi 17 peratus tahun ke tahun.

“Insentif daripada kerajaan semasa PKP terutamanya pengecualian cukai dan moratorium mendorong lebih banyak aktiviti penjualan sejak Jun.

“Kami memperoleh jualan sebanyak 112,400 unit sejak tiga bulan lepas. Penjualan suku ketiga telah menyaksikan angka sejak awal tahun sehingga kini (YTD) kepada sekitar 280,000 unit dan kami boleh menandingi jualan purata tahunan industri kerana permintaan terus menggalakkan,” katanya.

Bagaimanapun, Khor mengingatkan yang trend jualan kereta terpakai menggalakkan ini tidak akan kekal lama. – Bernama

Google ads
Back to top button