Buletin

TOYOTA LANCAR COROLLA 2023 DI JEPUN. ENJIN DYNAMIC FORCE, BERMULA RM64K

Toyota Corolla facelift telah dilancarkan secara rasmi di pasaran Jepun. Tiga model ditawarkan iaitu Corolla standard (sedan), Corolla Touring (wagon) dan Corolla Sport (hatchback). Kesemuanya mendapat naik taraf dari segi visual, mekanikal dan peralatan.

Dari sudut penampilan, tidak terlalu banyak perubahan diterima kali ini terutamanya pada lampu, bampar dan beberapa kit dengan reka bentuk lebih halus. Saiz pula tidak mengalami perubahan.

Bagi bahagian dalaman pula, Pembeli akan mendapat dua saiz skrin untuk dipilih, termasuk Display Audio 8-inci dan Display Audio Plus 10.5-inci, kedua-duanya kini dengan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto berwayar.

Peralatan keselamatan canggih Toyota Safety Sense juga telah dinaik taraf. Ia kini boleh mengesan kereta dan pejalan kaki di persimpangan atau selekoh, selain membantu anda mengemudi secara automatik sekiranya berlaku bahaya. Kluster instrumen juga nampaknya telah dinaik taraf kepada skrin digital sepenuhnya.

Sedan empat pintu dan wagon lima pintu itu menggunakan enjin Dynamic Force 1.5 liter bagi menggantikan enjin 1.8 liter. Dengan nama kod M15A-FKS, enjin itu mampu menghasilkan 118hp dan tork 145Nm. Enjin Dynamic Force itu juga menampilkan kotak gear Direct Shift CVT dan bukannya Super CVT-i seperti yang dipasang pada model pre-facelift.

Corolla Sport pula menggunakan enjin Dynamic Force 2.0 liter bagi menggantikan unit 1.2 liter pengecas turbo 8NR-FTS. Enjin Atkinson-cycle itu berupaya menjana 168hp dan 202Nm, serta hanya ditawarkan dengan transmisi Direct Shift CVT.

Corolla dijual pada harga 1.99 juta yen dan 2.998 juta yen (RM63,756 dan RM96,050) di Jepun. Corolla Touring pula ditawarkan pada harga bermula 2.07 juta yen hingga 3.048 juta yen (RM66,319 hingga RM97,652). Manakala Corolla Sport berharga di antara 2.2 juta yen dan 2.89 juta yen (RM70,485 dan RM92,592).

Kita di Malaysia tunggu unit recond je lah..

Google ads
Back to top button