Buletin

NAZA EASTERN BAWA MASUK EV SUZUKI – BAKAL DILANCARKAN MENJELANG SEPARUH KEDUA 2025

Perkembangan pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dilihat akan terus rancak selepas kemunculan beberapa jenama ke dalam pasaran negara kita.

Lebih menarik pertumbuhan ini dipacu dengan perkembangan infrastruktur pengecasan di negara, sekaligus meningkatkan keyakinan pengguna.

Perkembangan berkenaan sejajar dengan sasaran Malaysia, memiliki 18,000 pengecas tersedia untuk menampung 524,409 unit EV yang dikuasakan bateri (BEV).

Baru-baru ini, pengedar sah kereta Suzuki di Malaysia, Naza Eastern Motors, sedia membawa masuk kereta elektrik (EV) Suzuki seawal separuh kedua 2025 bagi merancakkan lagi pilihan EV.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohamad Irwan Shahril, berkata syarikat itu sudah memberi taklimat kepada prinsipal, Suzuki Motor Corporation (SMC) berhubung insentif ditawarkan kerajaan untuk EV import sepenuhnya (CBU).

Menurut beliau, SMC memberi garis masa pada 2025 berbanding perancangan awal setahun kemudian.

Tanpa menyebut model khusus, Mohamad Irwan berkata, SMC sudah menetapkan model EV tertentu untuk diperkenalkan di Malaysia berdasarkan cadangan Naza Eastern Motors kepada SMC bagi menepati permintaan dan cita rasa pasaran tempatan.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa SMC memperuntukkan sejumlah 440 hingga 460 unit untuk ditawarkan ke pasaran Malaysia tahun ini.

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan mendadak saban tahun berbanding sekitar 243 unit tahun lalu dan 31 unit pada 2021.

“Walaupun model yang dibawa masuk ke Malaysia adalah lebih niche dan berlandaskan gaya hidup seiring cita rasa peminat kereta Suzuki, kami yakin dapat mencapai sasaran peningkatan peruntukkan jumlah kereta. Tahun depan jumlah kereta akan meningkat mencecah empat angka,” katanya.

Mengenai model baharu yang akan dibawa masuk, Mohamad Irwan berkata, Naza Eastern Motors merancang untuk memperkenalkan satu lagi model dalam masa terdekat.

“Kami akan membawa masuk model ketiga selepas Suzuki Swift Sport dan Jimny ke Malaysia pada tahun depan,” katanya.

Difahamkan, model berkenaan baru sahaja dilancarkan oleh SMC di India.

Mac lalu, SMC pada Ekspo Automotif di Delhi melancarkan EV konsep untuk pasaran global dikenali, eVX sejajar dengan matlamat syarikat dalam menyokong komitmen kepada alam sekitar.

Kereta konsep eVX akan menjadi model pertama dihasilkan daripada falsafah seni bina EV khusus pengeluar berkenaan.

Menurut laman web SMC (www.globalsuzuki.com), kereta konsep eVX itu akan membolehkan Suzuki menghasilkan rangkaian EV pada masa hadapan. – Berita Harian

Google ads
Back to top button