
NETA V- KERETA ELEKTRIK TERMURAH DI MALAYSIA. RM 99,800.
Salah satu model yang menarik perhatian di Malaysia Autoshow 2023 ialah pengenalan sebuah lagi kereta elektrik dengan harga permulaan RM 99,800. Hak pengedaran dan penjualan Neta V dijalankan oleh Intro Energy Sdn Bhd, iaitu subsidiari GoAuto Group yang telah menandatangani dengan Hozon New Energy Auto.
Kami ringkaskan semua data berkenaan dengan Neta V seperti berikut:
1. Dimensi Neta V ialah 4070mm panjang, lebar 1690mm dan tinggi pula ialah 1540mm. Jarak antara roda pula ditetapkan pada 2420mm serta datang dengan berat 1151kg. Dari segi saiz luaran, Neta V besar sedikit daripada kereta kompak paling popular iaitu Perodua Myvi dengan kapasiti 5 penumpang
2. Neta V dibekalkan dengan bateri yang dihasilkan oleh CATL iaitu lithium nickel cobalt manganate dengan kapasiti sebesar 38.54kWh. Ini membolehkan Neta V dipandu sejauh 380km mengikut standard NEDC. Untuk pengecasan biasa dan onboard charger sebesar 6.6kWh, ia memerlukan masa selama 8 jam untuk dicaj penuh 100%

Tapi jika dicaj dengan menggunakan DC Fast Charger serta soket CCS (Combine Charging System), ia hanya memerlukan masa 30 minit sahaja untuk dipenuhkan dari 30% ke 80%
3. Neta V juga dilengkapi dengan Thermostatic Battery Management System, bertindak sebagai heat pump. Sistem ini bertindak menyejukkan bateri supaya tidak melebihi 45 darjah Celcius dan memanaskan bateri supaya tidak kurang daripada 15 darjah Celcius.
Keadaan ini memastikan bateri akan beroperasi dalam julat suhu yang sesuai hampir 95% keadaan dan memanjangkan jangka hayat bateri. Operasi pemanasan dan penyejukan bateri ini hanya menggunakan 5% sahaja tenaga bateri
4. Hanya satu motor elektrik (Permanent Magnet Synchronous) sahaja dipasang pada Neta V, menghasilkan sekitar 94 kuasa kuda dan 160Nm tork dan semua kuasa dihantar ke roda depan. Ini membolehkan Neta V memecut 0-50km/jam dalam masa 3.9 saat dan mencapai halaju maksima 120km/jam

5. Saiz tayar yang dibekalkan ialah 185/55 R16 dengan suspensi depan menggunakan Topang McPherson manakala suspensi belakang pula menggunakan sistem Trailing Arm Suspension. Sistem brek menggunakan brek cakera pada semua roda dengan sistem brek ESC
6. Ruang bagasi belakang adalah sebesar 335 liter, dan boleh dibesarkan kepada 552 liter apabila kusyen barisan belakang dilipat. Kusyen barisan depan pula diberikan rekaan sport dan juga bolster yang tebal di bahagian sisi.
7. Papan pemuka pula didominasi oleh skrin 14.6 inci dengan resolusi High Definition, boleh disambungkan ke telefon pintar dengan ciri Android Auto/Apple Car Play, serta menempatkan pelbagai butang termasuklah penyaman udara. Corong penyaman udara pula disusun secara melintang di sepanjang papan pemuka
8. Dari segi aspek keselamatan, 63% kerangka Neta V dihasilkan daripada High Strength Steel, dan serta B dihasilkan daripada Hot Formed Steel dengan kekuatan 1500Mpa. Namun Neta V hanya dipasang dengan 2 beg keselamatan udara sahaja selain sistem anti gelinciran ESC

9. Neta V juga dipasang dengan ciri V2L (Vehicle 2 Load) dimana pek bateri kereta boleh digunakan untuk membekalkan kuasa kepada perkakasan elektrik seperti kipas ataupun lampu. Fungsi ini sangat berguna sekiranya anda berkhemah di kawasan tepi pantai dengan kapasiti sebesar 3.3kW
10. Harga pengenalan Neta V ialah RM 99,800 tapi jika anda membuat tempahan sekarang dan menjadi 100 pembeli terawal, maka anda akan diberikan diskaun sebanyak RM 10,000 menjadikan harga Neta V ini hanyalah RM 89,800 sahaja.
Neta V diberikan jaminan umum untuk semua komponen sehingga 150,000km atau 5 tahun, 8 tahun jaminan untuk komponen elektrik atau sehingga 180,000km dan 200,000km untuk melindungi cesi daripada masalah karat