
NISSAN 350 Z FAST & THE FURIOUS: TOKYO DRIFT DIJUAL PADA HARGA RM545k
Sebuah Nissan 350 Z yang menjadi antara watak utama dalam filem ketiga francais Fast and Furious: Tokyo Drift dilapor dijual pada harga mencecah RM545,000.
Jentera yang pernah dipandu dan dimiliki oleh watak antagonis, Takashi atau lebih dikenali sebagai Drift King (DK) itu tampil dalam kebanyakan material promosi filem tersebut. Ia cukup dikenali menerusi grafik pada badannya ketika berlumba di sekitar Tokyo, Jepun.
Dijual di laman pengiklanan kereta terbesar di United Kingdom, Auto Trader Nissan 350 Z itu dilengkapi sistem Nitrous Oxide (wayang sahaja). Ia diiklankan oleh sebuah firma penggayaan kereta, Auto Logix.
Auto Logix mendakwa Nissan 350 Z itu dijual bagi pihak seorang pengumpul kereta yang membelinya dari Takashi dan Universal Pictures tidak lama selepas filem berkenaan ditayangkan.
Jentera drift itu didaftarkan di Jepun pada tahun 2002 dan memiliki semua elemen yang menunjukkan bahawa ia memang bintang filem.
Disifatkan sebagai Nissan 350 Z paling popular di dunia, ia merupakan salah satu daripada hanya dua unit yang selamat daripada produksi filem Fast and Furious: Tokyo Drift.
Difahamkan terdapat enam unit yang digunakan sepanjang penggambaran. Namun, jentera yang diiklankan ini ialah satu-satunya yang dinaik taraf, termasuklah enjin APS twin turbo.
“Inilah kereta yang menjadi idaman ramai. Saya yakin pemilik barunya akan simpan sahaja di rumah,” kata Pengarah Editorial Auto Trader, Erin Baker.
Fast and Furious: Tokyo Drift menjadi filem box office di seluruh dunia dan mencatat kutipan lebih AS$96 juta (RM392 juta).