Buletin

NISSAN ALMERA NISMO

Selepas sukses dengan varian Nismo pada model Grand Livina, Sylphy, Latio dan banyak lagi, aksesori prestasi Nismo kini dipasang pula pada sedan global terlaris Nissan, Almera. 

Jentera ini adalah hasil kolaborasi di antara Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) dan Nissan Motorsports International Co., Ltd. (Nismo). Ia dikenali sebagai Nissan Almera Nismo Performance Package Concept.

Pertama kali dipamerkan kepada umum sewaktu acara perlumbaan Super GT International Series Malaysia 2013 yang berlangsung di Litar Antabangsa Sepang (SIC) pada hujung minggu lalu.

Unveiling of the Nissan Almera Nismo

Menurut ETCM, pengenalan Nissan Almera Nismo Performance Package Concept membolehkan pengguna untuk memiliki sebuah Nissan Almera dengan pakej Nismo’s passion.  Pakej tersebut dijadual dilancarkan di Malaysia pada suku keempat tahun ini.

Sedia maklum bahawa model Nissan Almera Nismo Performance Package Concept diinspirasikan oleh teknologi-teknologi sukan bermotor Nismo. Ia menampilkan reka bentuk aerodinamik yang dioptimumkan secara khusus untuk Almera. Malah, karekter pengendaliannya juga telah dipertingkatkan untuk pengalaman pemanduan lebih dinamik.

Nissan Almera Nismo -17 inch Alloy Wheels

Ciri menarik pada bahagian luaran Nissan Almera Nismo Performance Package Concept ialah bampar hadapan dan belakang, skirt sisi, spoiler belakang serta rim aloi bersaiz 17 inci.

Semua komponen ini dibangun menggunakan teknologi perlumbaan Nismo yang sudah terbukti. Suspensi sports menawarkan pengendalian yang selesa dan stabil. Sementara peredam ekzos Nismo (Nismo Exhaust Muffler) pula memberikan bunyi yang lebih sporty.

“Meneruskan kejayaan kolaborasi pertama di antara ETCM dan Nismo pada tahun 2005, kami kini berbesar hati untuk memperkenalkan model prebiu global ini.

Nissan Almera Nismo Performance Package Concept merupakan bukti kepada hubungan dan kerjasama rapat yang telah wujud di antara ETCM dan Nismo. Kami harap dapat menawarkan pakej Nismo ini kepada semua pelanggan Almera tidak lama lagi!” kata Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk David Chen.

Nismo adalah jenama sukan bermotor dan prestasi untuk kenderaan Nissan yang terkenal di peringkat global. Ia juga dikenali sebagai salah satu organisasi sukan bermotor premium yang wujud daripada semangat tagline “Inovasi yang Mengujakan” (Innovation that Excites) Nissan.

“Kami menawarkan sesuatu yang istimewa dari segi teknologi sukan bermotor termaju, kemampuan prestasi dinamik dan reka bentuk sporty tersendiri yang terkandung dalam Nismo, jenama sukan bermotor, prestasi serta personalisasi Nissan,” kata Presiden Nismo, Shoichi Miyatani.

Maklumat lanjut mengenai model-model Nissan di Malaysia, sila layari laman web: www.nissan.com.my atau  www.nismo.com.my.

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button