
NISSAN ALMERA VL, PENINGKATAN YANG BAGUS BERBANDING MODEL LAMA
Nama Almera sebenarnya bukanlah sekadar 2 generasi sahaja seperti yang kita tahu untuk pasaran Malaysia. Ia sebenarnya telah dihasilkan dalam 4 generasi termasuk generasi terbaru iaitu N18 manakala generasi pertama ialah N15 yang diancarkan pada tahun 1995
Pada awalnya ia diposisikan sebagai sedan segmen C yang merupakan Nissan Pulsar yang dieksport ke Eropah. Tapi bagi generasi ke 3, ia diposisikan semula sebagai sedan segmen B dengan menggunakan platform V yang dibangunkan oleh Nissan.
Bagi generasi ke 3, ia merupakan satu lonjakan rekaan yang paling moden dan paling menarik yang pernah dihasilkan oleh Nissan termasuklah dari segi trenkuasa yang lebih efisyen dan juga aspek keselamatan yang dipertingkat.

Bagi siri ke 4 yang dikenali dengan kod N18, ia menampilkan falsafah rekaan baru Nissan yang dikenali sebagai V-Motion bagi memberikan rekaan depan yang lebih futuristik, rekaan sisi yang lebih sporti dan bahagian belakang yang berbeza dan tidak lagi keliru dengan bahagian depan.
Bagi unit ujian kali ini, ia adalah milik persendirian rakan penulis bukannya unit media daripada Nissan. Jadi ia adalah varian terendah iaitu varian VL yang berharga RM 80,000. Perbezaan fizikal yang boleh dilihat termasuklah penggunaan mentol halogen bagi lampu utama, DRL dan juga lampu kabus.
Tapi lampu bahagian belakang tetap menggunakan LED dan diperkemaskan dengan satu spoiler ducktail yang cukup kena dengan rekaan dan gaya Almera. Varian VL juga menggunakan rim 15 inci aloi satu warna sahaja berbanding varian VLT dan VLP yang menggunakan rim 16 inci dengan kemasan 2 tona

Untuk bahagian dalam, varian VL mengunakan papan pemuka satu tona warna hitam sahaja, meter analog, suis lampu manual, roda stering tanpa balutan kulit, dan suis penyaman udara rotari manual. Hanya kusyen Nissan Gravity Seat sahaja diberi kemasa 2 warna, jadi ia tidaklah nampak terlalu kosong.
Walaupun dalam varian terendah, ruang dalaman Almera baru nampak lebih mewah dan moden berbanding dengan rekaan lama yang seperti diilhamkan dari telur ayam. Konsol gear dipasang sekali dengan suis tekan mula ala-ala Volkswagen, diberikan ciri perehat tangan serta 3 poin pengecas USB.
Ruang kaki belakang mengekalkan warisan Almera yang lama iaitu sangat luas dan diberikan ciri tambahan baru iaitu perehat tangan di kusyen belakang. Owh ya, walaupun rekaan bahagian belakang kelihatan jauh lebih segak, ruang kargo juga telah diperbesarkan menjadi sehingga 482 liter. Cukup luas untuk mengisi beg bagi perjalanan balik kampung

Semua varian diberikan enjin yang sama iaitu enjin HRA0DET 1000cc 3 silinder turbo yang menjana sekitar 99 kuasa kuda dan 152Nm tork dari serendah 2600Nm tork. Kuasa enjin dihantar ke tayar depan menerusi transmisi CVT X-tronic tapi sayangnya ia tidak disertakan dengan ciri Shiftronic atau penukar gear di belakang stering
Enjin 3 silinder yang digunakan merupakan enjin baru bagi menggantikan enjin 4 silinder 1500cc. Anda janganlah harapkan ia menghantar kuasa pecutan ala-ala Nissan GTR kerana sistem turbo yang dibangunkan adalah fokus kepada penggunaan bahan api yang minima dan juga mengurangkan pencemaran alam
Walaupun enjin 3 silinder dikaitkan dengan masalah gegaran daripada rekaan silinder dalam bilangan ganjil, amat sukar sekali untuk mengesan gegaran yang dihasilkan. Ketika berhenti di lampu isyarat, gegaran enjin yang dihasilkan mungkin lebih sedikit berbanding dengan gegaran yang dihasilkan oleh kereta milik penulis yang menggunakan 4 silinder.

Namun apa yang bonusnya ialah tork maksima 152Nm datang seawal 2600 RPM menjadikan pecutan Almera lebih tenang dan santai. Tau tau sahaja anda sudah melebihi 120km/jam dan anda perlukan latihan kesabaran dan kseungguhan untuk mengekalkan halaju pada 110km/jam. Walaupun laju, penjimatan Almera sangat dipuji.
Secara purata Almera berupaya memberikan bacaan sekitar 20.5km bagi halaju secara konsisten antara 110-130km/jam. Bagi mengelakkan ralat, penulis mencuba ujian ini secara 2 kali dan masih mendapat keputusan yang sama.
Pada halaju 110km/jam, amat susah bacaan RPM enjin Almera untuk melebihi 2000 RPM. Sekadar berlegar di 1800 RPM sahaja. Namun apa yang kontra ialah memandu perlahan bagi mendapatkan purata bacaan petrol yang bagus sebenarnya meletihkan dan membosankan

Namun apa yang menarik ialah Almera diberikan ciri Nissan Zero Gravity Seat, dan anda boleh baca berkenaan dengan kusyen ini di SINI. Pada pandangan penulis, kusyen Almera merupakan kusyen paling selesa dalam sedan segmen B. Walaupun badan anda terasa lesu, anda boleh memandu Almera untuk perjalanan jarak jauh dengan selamba
Secara keseluruhan, ergonomik pada Nissan Almera adalah bagus untuk sebuah kereta keluarga. Malah pada kelajuan 110km/jam, kabin hanya menghasilkan sekitar 55dB sahaja di atas lebuhraya. Melainka anda cuba memandu dengan laju, barulah anda menyedari beberapa kekurangan yang ada pada Almera
Disebabkan ia direka bagi keselesaan, maka pengendalian Almera tidaklah setajam Mazda 2 atau Honda City yang cesinya memberikan tindakbalas segera terhadap input stering. Roda stering mesti dipusing dengan lebih sedikit bagi mengambil selekoh, memberikan penumpang lain keselesaan.

Malah sistem penyerap hentak yang digunakan memberikan kadar penyerapan yang bagus dan lembut sesuai untuk membawa ahli keluarga berjalan-jalan dengan tenang, bukannya berlumba. Jika anda perhatikan pada tombl gear, hanya ada 2 pilihan gear ke depan samaada D (Drive) atau L (Low).
Tapi masih ada satu butang tersembunyi pada tombol gear yang bila ditekan akan menyebabkan lampu SPORT menyala pada paparan meter. Gear CVT akan d menggunakan gear rendah dan enjin menjadi sedikit agresif, sangat sesuai untuk memotong kenderaan yang dipandu secara perlahan.
Walaupun tidak diberikan lampu depan LED, Nissan memberikan tumpuan dalam aspek keselamatan dengan menawarkan ciri amaran pra-perlanggaran dan brek pra-perlanggaran walaupun untuk varian termurah. Ciri keselamatan ini tidak ditawarkan pada mana-mana varian termurah sedan segmen B.

Selain itu Almera turut diberikan ciri lain seperti 2 beg keselamatan udara, sistem kestabilan elektronik, dan perakam video digital. Sebagai perbandingan Vios menawarkan 7 beg udara untuk varian 1.5J dan City menawarkan 4 beg udara bagi varian 1.5S.
Namun pada pendapat penulis, jika Myvi mampu menawarkan 6 beg keselamatan udara maka sepatutnya jenama lain yang lebih lama patut menawarkan minima 6 beg udara dalam kereta buatan mereka. Dari segi rekaan luaran, dalaman dan juga prestasi enjin Almera baru jauh mengatasi Almera yang lama
Ia sebuah kereta keluarga yang bagus, luas, selesa dan menjimatkan bahan api. Varian VL ini ditawarkan pada harga RM 80,000 manakala varian tertinggi dijual dengan harga RM 91,000. Mungkin Nissan perlu menggantikan nama Amera dengan nama yang lebih menarik, atau guna sahaja nama lama seperti Sentra yang ada ramai peminat di Malaysia bagi menarik lebih ramai pembeli.