Buletin

NISSAN BELI 34% SAHAM MITSUBISHI

Nissan telah menandatangani satu perjanjian yang menjadikannya sebagai pemilik saham terbesar Mitsubishi Motors.

Mitsubishi-Nissan-alliance-mekanika (3)

Pembelian saham sebanyak 34 peratus itu melibatkan pelaburan bernilai 237 bilion yen atau AS$2.2 bilion (RM8.87 bilion).

Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Carlos Ghosn menyifatkan langkah itu sebagai situasi menang-menang untuk kedua-dua buah syarikat. Ghosn juga berjanji akan menghormati jenama dan sejarah Mitsubishi.

Mitsubishi-Nissan-alliance-mekanika (2)

Pakatan strategik tersebut dilihat akan mengukuhkan lagi kerjasama di antara Nissan dan Mitsubishi yang sudah dimulakan sejak lima tahun lalu.

Mereka bakal bekerjasama dalam bidang-bidang seperti pembelian, teknologi,  perkongsian platform, penggunaan kilang dan pertumbuhan pasaran. Dalam erti kata lain, kedua-dua syarikat ini akan menggabungkan rangkaian dan sumber mereka untuk meningkatkan penjimatan.

Menurut laporan BBC News, Nissan sebenarnya membeli saham Mitsubishi pada harga yang sangat menarik. Hasilnya, Nissan akan mendapat akses rangkaian jualan Mitsubishi di Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Mitsubishi-Nissan-alliance-mekanika (1)

Sedia maklum bahawa Nissan sudah pun membentuk pakatan dengan Renault dengan pegangan saham sebanyak 43 peratus. Dengan perkembangan terbaru ini, Mitsubishi dilihat akan menjadi rakan de-facto dalam kumpulan tersebut.

Gabungan ini akan mampu membina 9.5 juta unit kenderaan setahun. Sekali gus membuatkan mereka setanding dengan gergasi automotif lain seperti Toyota dan General Motors.

Google ads
Back to top button