Motosikal

6 PERKARA BIKERS PERLU TAHU KETIKA HUJAN

Saat ini keadaan cuaca tidak menentu. Selepas musim panas melampau, Kuala Lumpur dan Selangor kini beralih musim. Pada waktu petang, pasti hujan akan mencurah turun. Terkadang kita sendiri tidak dapat menduga perubahan cuaca ini.

tips-for-riding-motorcycle-in-rain

Justeru, buat penunggang di luar sana anda dituntut lebih berhati-hati. Musim hujan membuatkan jalan menjadi licin. Tambahan keadaan jalan di Malaysia, kalau tidak berlubang bukanlah jalan namanya.

Berikut beberapa perkara yang perlu diperhatikan:

Topi keledar  
Isu topi keledar mungkin boleh dipandang enteng oleh anda. Tetapi ini adalah peralatan penting yang perlu ada saat menunggang sama ada hari cerah mahu pun hujan. Pada musim hujan ini adalah disarankan sekiranya bikers di luar sana menggunakan helmet muka penuh. Supaya apabila air hujan mencurah, mata dan wajah tidak terganggu dengan titisan air hujan.

Baju hujan
Pemilihan baju hujan perkara paling penting buat penunggang. Tidak salah melabur sedikit wang untuk mendapatkan baju hujan berkualiti. Lebih baik anda memilih baju hujan berbentuk jaket dan seluar.  Jangan memilih bentuk jubah atau ponco kerana ia berisiko  tersangkut pada rantai atau roda. Paling penting pilihlah warna baju hujan yang cerah agar boleh dilihat oleh pengguna lain. Jangan pula anda menggunakan payung ketika menunggang.

Sarung tangan
Anda perlu menggunakan sarung tangan. Pilihlah sarung tangan kalis air. Ini dapat memberikan cengkaman maksimum pada pendikit. Sekurang-kurangnya tidaklah tangan anda kecut setibanya di rumah.

Kasut
Ketika hujan saya ada juga melihat penunggang menggantikan kasut mereka dengan selipar. Ini adalah merbahaya, terutama jika anda terjatuh atau terkena batu. Gunakanlah kasut kalis air atau sarung kasut anda dengan pelindung.

Sekiranya terpaksa menggunakan kasut, jangan meletakkan kaki di atas enjin. Terutama mereka yang menunggang kapcai. Ini kerana titik keseimbangan motor dan penunggang berubah, sekali gus mempengaruhi pengendalian motosikal.

Nyalakan lampu
Untuk anda hidupkan lampu motosikal adalah mandatori, apatah lagi waktu hujan. Namun, janganlah anda menyalakan lampu hazard kerana ini akan menggelirukan pengguna lain. Perkara ini selalu terjadi bagi mereka yang memandu kereta.

Meredah takungan air
Masalah air bertakung di ibu kota adalah perkara biasa. Apabila anda meredah laluan air bertakung, dinasihatkan agar menunggang dengan perlahan. Percikan air secara tidak langsung boleh menyebabkan anda hilang kawalan. Malah, tidak mustahil di bawah air itu ada lopak atau jalan berlubang. Maka, anda perlu lebih berhati-hati.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button