" "
Buletin

NISSAN GT-R 50TH ANNIV EDITION ADA DI THAI, RM1.5 JUTA SAHAJA!

Thailand sememangnya negara yang istimewa apabila penawaran kenderaan diambil kira. Negara itu mempunyai penduduk yang ramai dan pasaran luas seterusnya membolehkan pelbagai model ditawarkan.

Contohnya ialah Nissan Almera yang dipasarkan lebih awal di sana berbanding negara ASEAN lain.

Selain Almera, ada sebuah model yang sangat istimewa baru dilancarkan di Thailand iaitu Nissan GT-R 50th 50th Anniversary Edition.

GT-R itu dilancarkan pada 29 November sempena Pameran Ekspo Kenderaan Antarabangsa 2019 di Bangkok.

Harganya? THB11.3 juta atau bersamaan RM1,559,907 yang turut didatangkan dengan tiga tahun jaminan atau jarak perbatuan 100,000 km.

Model istimewa ini hadir dengan warna yang melambangkan tiga era warisan. Paling istimewa ialah warna Bayside Blue yang sudah lama tidak ditawarkan.

Warna istimewa itu dipadankan bersama jaluran perlumbaan (racing striper) warna putih yang merentasi hud sehingga but belakang. Turut istimewa ialah kemasan biru pada rongga rim.

Dua lagi warna ialah Storm White dengan jaluran merah dan Ultimate Silver dengan jaluran putih.

Bahagian dalaman 50th Anniversary dikenakan skema warna kelabu yang menaikkan seri kemewahan dan ibarat atmosfera langit selepas tengah malam.

Ciri unik lain ialah balutan stereng dan tombol gear khas, kerusi berlogo, lelangit (headliner) dan pelindung matahari balutan Alcantara® dan banyak lagi.

Selain itu, GT-R keluaran 2020 canggih dengan aplikasi telefon pintar yang boleh mengesan lokasi kereta, membuka dan mengunci pintu dan mengaktifkan penggera.

Turut dilengkapi ialah sistem audio premium BOSE® dengan 11 pembesar suara dan Pengurusan Suara Aktif untuk pemanduan menyeronokkan.

Nadi kuasa GT-R terbaru mempunyai beberapa pembaharuan.

Mod R pada transmisi enam kelajuan klac berkembar dikemaskan lagi yang sesuai untuk digunakan di litar dan jalan raya.

Karakter mod R lebih agresif pada bahagian penurunan gear dalam melalui selekoh dengan pemilihan gear berlaku semasa pengaktifan ABS. Hasilnya ialah understeer dikurangkan dan rasa pemanduan lebih intuitif.

Kawalan tukaran adaptif diprogramkan untuk menukar gear mengikut gaya pemandu dan membolehkan kereta ini dipandu dengan baik mengikut undang-undang jalan raya awam.

Apa yang Nissan buat pada GT-R 2020 lebih kepada penyesuaian dua dunia berbeza, satu untuk jalan raya dan satu lagi karakter buas di litar lumba tanpa perlu menukar mod secara manual.

GT-R baharu didatangkan dengan peredam bunyi baharu daripada titanium dengan muncung kebiruan.

Para jurutera menala semula suspensi kawalan elektronik bagi membekalkan lebih kestabilan sewaktu melalui selekoh dan pemanduan lebih lancar.

Stereng kini lebih linear dan tepat berbanding sebelumnya dan hanya memerlukan sedikit pelarasan semula pada kelajuan sehingga 300 km/j.

Selain talaan lebih kemas, perhatian ditumpu pada pemberhentian dengan penggalak (booster) brek baharu yang meningkatkan respon awalan brek dengan pijakan pedal lebih singkat.

Daya membrek kini lebih baik berbanding sebelumnya.

Kepada peminat tempatan, Nissan GT-R 50th 50th Anniversary Edition atau GT-R 2020 berkemungkinan boleh dimiliki selepas setahun berada di pasaran dan dibawa oleh pengimport. Harganya pula tidak murah.

Kredit/sumber foto: Nissan

Google ads
Back to top button