
NISSAN GT-R LM NISMO
Nissan semalam mengumumkan bahawa ia sudah bersedia untuk menjadi pengeluar kereta sport terbaik dunia selepas memperkenalkan jentera Nissan GT-R LM NISMO pada waktu iklan acara Super Bowl XLIX.
Kereta baharu tersebut bakal bersaing dalam kelas LM P1 perlumbaan FIA World Endurance Championship, kategori tertinggi dalam dunia sukan bermotor.
Bermula di Silverstone, UK pada 12 April depan, siri perlumbaan itu turut melibatkan saingan di litar-litar seperti Spa di Belgium, Le Mans 24 Hours, Nürburgring di Jerman, sebelum meneruskan aksinya di Amerika Syarikat (AS), Jepun, China dan Asia Barat.
Jentera itu membuktikan keupayaan Nissan menginterpretasi peraturan teknikal melalui cara yang cukup inovatif. Nissan GT-R LM NISMO tampil sebagai sebuah kenderaan berpacuan roda hadapan. Enjin V6 turbo berkembar bersesaran 3.0 liter itu dipadankan bersama sistem janaan semula tenaga kinetik.
FIA World Endurance Championship dilihat sebagai medan terbaik untuk syarikat automotif menguji teknologi jentera perlumbaan sebelum dapat diaplikasikan kepada kenderaan biasa. Program ujian ekstensif jentera tersebut dimulakan pada tahun lalu di Arizona, AS.
Dalam perkembangan berkaitan, Nissan turut mengumumkan rakan-rakan kerjasamanya untuk tempoh tiga tahun. Antaranya termasuklah jenama jam terkenal TAG Heuer, minyak pelincir Motul dan tayar Michelin.












