
NISSAN GUNA AI UNTUK HASIL REKAAN KENDERAAN – JIMAT MASA TETAPI PERLU DATA MENCUKUPI
Penggunaan Artificial Intelligence (AI) atau Kecerdasan Buatan ini semakin luas dalam beberapa industri termasuklah industri automotif.
Pembuat kereta Jepun, Nissan antara cepat mengaplikasikannya apabila Yokohama Lab mula menggunakan AI untuk mempercepatkan proses rekaan kenderaan jenama itu.
Tambahan, AI bakal membantu syarikat untuk menyelesaikan masalah atau cabaran dihadapi oleh jurutera atau pereka, sekaligus menjimatkan masa begitu banyak.

Menurut Nissan, antara aspek reka bentuk menjadi fokus Nissan ialah reka bentuk aerodinamik.
Jurutera Aerodinamik, Kei Akasaka mengakui mengalami kesukaran dalam mengira aero, berkata, “Amat mencabar untuk bertindak balas dengan pantas kepada permintaan mendadak daripada pereka bentuk. Mereka membuat sedikit perubahan pada reka bentuk dan ingin mengetahui secepat mungkin bagaimana ia memberi kesan kepada aerodinamik.”
Oleh itu, sebagai tindak balas, pusat penyelidikan memulakan projek kerjasama untuk membangunkan model ramalan menggunakan AI.
Malangnya, pasukan itu menghadapi masalah, menunjukkan bahawa lebih banyak data diperlukan untuk menyelesaikan tugas itu.
“Apabila memiliki data yang banyak, ketepatan bertambah baik. Untuk menangani ini, kami bereksperimen dan bekerja dengan Akasaka, melatih model dengan maklumat seperti persamaan dinamik bendalir serta undang-undang fizikal lain,” kata Saintis Data, Chen Fangge.
Untuk rekod, Nissan juga menggunakan AI bertujuan membina kereta lebih selamat, membangunkan pengimbas pemeriksaan yang boleh menilai keadaan bahagian kereta dengan ketepatan 99.995 peratus.