Artikel Pilihan

MITSUBISHI COLT GALANT – COUPE KLASIK YANG NAMPAK MACAM BARU KELUAR BILIK PAMERAN

Ketika berkunjung ke pesta cahaya dan letup letup, Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL), ketika melihatkan kereta ini hati ini terus terdetik. Aduh, cantik betul kereta ni. Dia punya berkilat serupa tak pernah keluar dari bilik pameran berpuluh tahun lamanya.

Inilah dia Mitsubishi Colt Galant A112H, atau pun diberi gelaran Dragon Red Galant. Berinspirasikan sebuah coupe, tetapi sebenarnya ianya adalah model hardtop pertama dari Mitsubishi yang tiada pillar dibahagian belakang ketika ianya mula diperkenalkan kepada pasaran pada tahun 1969. Ketika diperkenalkan di era itu, model Mitsubishi ini bersaing secara terus model handalan dari Jepun seperti Toyota Corona, Datsun Bluebird, Honda Accord serta Mazda Capella.

Ketika pemilik terkini bertukar geran dengan pemilik sebelumnya, kondisi yang diterima tidaklah terlalu menyedihkan. Mitsubishi Colt Galant ini masih mampu bergerak tanpa masalah atas jalanraya dan bukannya tersadai di belakang rumah. Dan pemilik baharunya mahu mengangkat darjat kereta ini dengan melakukan kerja – kerja restorasi supaya ianya kembali hebat seperti di zaman silam.

Seperti yang kita sedia maklum, untuk menjalankan kerja – kerja restorasi model kereta yang agak lusuh kepada rupa yang menawan sebegini, duit sahaja belum tentu mampu menjayakan misi ini. Untuk kereta yang lama sebegini, musuh utama adalah getah yang membataskan setiap permukaan. Mencarinya tidaklah mudah. Begitu juga dengan sekecil kecil skru. Pemiliknya mahukan kesempurnaan. Bukannya setakat pakai barang OEM dan boleh isi minyak terus jalan. Hanya sabar dan tekad berupaya menjadikan hasil yang sebegini rupa.

Bagi memastikan ianya mampu bergerak dengan lancar atas jalanraya, pemiliknya telah pun menukar peralatan wear & tear kepada yang baharu dan sudah semestinya asli. Ada beberapa peralatan yang telah dibaik pulih semula terutamanya bahagian yang melibatkan perkakasan krom. Kasi kilat balik orang kata.

Manakala untuk bahagian tempat duduk yang sudah usang, pemiliknya telah menggunakan balutan kulit Nappa yang ditempah khas bagi mengikut rekaan yang asli. Bahagian tempat duduk belakang juga telah direka baharu terutamanya bahagian perehat kepala untuk lebih keselesaan penumpang Barulah nampak baru. Eh memang barulah pun kan. 

Lain – lain bahagian dalaman sudah semestinya adalah daripada yang asli. Oh ya, untuk keselesaan pemilik menempuh kesesakan lalu lintas  tanpa perlu mengelap peluh di dahi, sistem pendingin hawa moden yang serba baharu juga telah berjaya dipasang dengan jayanya tanpa kelihatan di ruangan dalaman. Siapa bilang teknologi moden tidak boleh digandingkan bersama?

Bahagian nadi asal 4G32 yang bersesaran 1.6 liter juga telah dibina semula bagi membolehkan ianya mengimbau zaman kegemilangan kereta buatan tahun 1974 ini. Lupakan soal laju, yang penting boleh bergerak dengan lancar tanpa masalah.

Melengkapkan rupa luaran adalah penggunaan cat premium Glassurit,  serta rim Watanabe yang cukup kena dengan tema olskol yang ditampilkan.

Walau pun ketika TASKL kereta olskol ini tidak memenangi apa apa anugerah, namun dengar kata kereta ini sebenarnya turut mendapat perhatian buat penggemar kereta. Mujur juga tempoh hari sewaktu Retro Hevoc, ianya telah memenangi katagori Best Restoration yang mana ianya telah dipilih oleh juri dari Jepun, Shoji Inoue.

Kredit Foto Last Yang Awesome : ShahRizal Photography

BACA : MITSUBISHI COLT 1400 – LAGENDA HATCHBACK YANG TELAH PUPUS

BACA : MITSUBISHI GALANT 2009 – SELAMAT TINGGAL DUNIA

Google ads

B K

Back to top button