
NISSAN RC90K, PEMEGANG REKOD PUSINGAN LE MANS TERHEBAT UNTUK DIJUAL
Pada kemuncak kehebatan perlumbaan Group C, Nissan RC90K ini telah mencipta rekod pusingan yang dikatakan paling epik dalam sejarah perlumbaan moden. Pada sesi kelayakan sesi 1990 perlumbaan 24 jam Le Mans, pelumba baharu Mark Blundell membelasah enjin V8 RC90K ini sehingga berjaya merangkul petak pertama walaupun dengan kegagalan sistem turbo berkembar dan meninggalkan pesaing terdekat, Porsche 962C sejauh enam saat di belakang!

Berada di kemuncak kehebatan Group C denga penyertaan kereta-kereta paling laju pernah dihasilkan. Teknologi masih lagi analog sepenuhnya dan kesemua pasukan lumba tidak menggunakan ratusan komputer untuk menganalisa bacaan suhu setiap tayra selepas perlumbaan.
Tanpa bantuan stereng kuasa dan hanya menggunakan transmisi manual, kesemua pemandu bergelut dengan raksasa-raksasa perlumbaan ini untuk menguasai litar. Penyertaan pasukan Jepun diwakili Toyota, Mazda dan Nissan sangat aktif dan mereka menyeberang hampir separuh dunia untuk menundukkan pasukan ternama Eropah diwakili Porsche, Mercedes dan Jaguar.

Nissan memang kemaruk habis dengan perlumbaan kereta pada masa itu dan menghasilkan dua versi RC90K. Satu versi untuk Le Mans dan satu lagi versi untuk perlumbaan tempatan Jepun JSPC. Pada masa yang sama model lejen mereka Skyline R32 GT-R sedang menguasai Group A dan model Primera sedang aktif berlumba dalam perlumbaan touring sekitar Eropah dan Amerika Syarikat. Di Malaysia pula pakcik abang tengah bawak teksi Nissan Sunny warna hitam kuning di KL. Okey yang last tu takde kaitan.
Nissan mempunyai enam penyertaan dalam perlumbaan 1990 dan segalanya serba baharu untuk mereka. Kereta yang dipandu oleh Blundell bernombor 24 dengan dibantu oleh Julian Bailey dan Gianfranco Brancatelli, belum disiapkan sepenuhnya dan belum diuji. Pemandu baharu, trek baharu dan setup baharu. Ini dah kira macam memandu dalam gelap tanpa lampu.
Ada kegagalan? Mesti la ada. Kereta baharu kan? Tapi ia merupakan kegagalan yang cukup bergaya. Sewaktu sesi ujian dilakukan Blundell, wastegate turbo telah mengalami kegagalan dan tertutup sepenuhnya. Tekanan gas ekzos telah menyebabkan turbo berputar melebihi had dan kemungkinan berakhir dengan letupan. Setup 700 ke 800 hp kuasa dikatakan meningkat kepada 1,100 hp kuasa (lagi tinggi dari kuasa maksima Lamborghini Revuelto kau). Ketua pasukan memberikan arahan dari pit supaya Bundell berhenti memecut tetapi pelumba berusia 24 tahun itu mematikan radio dan terus memecut laju. Pergh.. stailo betul mamat ni.

Blundell seolah-olah bersatu dengan RC90K macam Abang Japar dengan Alza vtectec. Selama separuh sesi ujian Blundell merasakan beliau berada di pinggir kemalangan. Beliau berjaya mencatat kelajuan maksima 238 mph (383 kmj)! Sebaik kembali ke pit, beliau telah berjaya membuat catatan masa 3:27.020 meletakkan Nissan RC90K di petak pertama. Menariknya Blundell berkeyakinan penuh kereta tersebut boleh pergi lebih laju lagi.
Selain Porsche 962C yang berada di petak kedua dengan catatan masa 3:33.060, tiga lagi petak Top 5 menjadi milik Nissan. Tapi ingat, beza masa antara Porsche 962C dan sebuah lagi Nissan di petak ketiga cumalah 0.11 saat. Jauh berbeza dengan beza masa 962C dan RC90K yang dipandu Blundell.
Sayangnya pada hari perlumbaan kereta Blundell gagal menamatkan perlumbaan kerana terlibat dalam kemalangan dengan jentera Toyota 90C-V sewaktu dipandu oleh Brancatelli. Hanya dua buah jentera Nissan berjaya menghabiskan perlumbaan di tempat ke 5 dan 17.

Setahun selepas catatan masa lagenda yang dibuat oleh Blundell di Le Mans, Mazda muncul sebagai pemenang pertama dari Jepun menguasai perlumbaan dan dua tahun kemudian peraturan baharu diperkenalkan sekali gus menyebabkan perlumbaan Group C hilang taring.
Kini RC90K lagenda ini akan dijual menerusi sesi lelongan RM Sotheby’s di Le Mans 9 Jun ini. Tak lama dah ni. Sempat ke nak keluarkan KWSP ni? Harga dianggarkan dari USD1 juta ke 1.6 juta je pun. Ceh, macam ayat founder bedak sejuk la pulak.






