Motosikal

BOON SIEW HONDA LANCAR HONDA MONKEY 2018 – RM13,999 SEUNIT!

Ini adalah satu perkembangan yang saya tidak jangka sama sekali. Boon Siew Honda baru sahaja melancarkan modek ikoniknya, Honda Monkey ke pasaran tempatan.

Motosikal mini itu digerakkan oleh enjin bersesaran 125cc dengan kuasa 6.66kW pada 7,000rpm dan tork 10.5Nm pada 5,500rpm. Ini menjadikan Honda Monkey 2018 sebagai versi paling berkuasa sejak diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1963.

“Sebelum ini, kami ada mempamerkan Honda Monkey untuk mendapat maklum balas daripada pengguna.

“Selepas berpuas hati dengan respons positif yang diterima, kami membuat keputusan untuk melancarkan Honda Monkey di Malaysia”, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda.

Gaya retro Honda Monkey 2018 disempurnakan dengan oelbagai ciri moden. Antaranya termasuklah:

  • Lampu hadapan, belakang dan lampu isyarat membelok LED
  • Meter Digital dengan paparan LCD
  • Kotak simpanan peralatan penyelenggaraan
  • Alarm & Answer Back System yang membolehkan pemilik mengenal pasti lokasi Honda Monkey mereka dengan serta merta dan memberi pelindungan tambahan
  • Never Lower Muffler, melengkapkan lagi reka bentuk retro Honda Monkey.

Walaupun nampak kecil, ketinggian tempat duduk sebenarnya sama seperti motosikal biasa iaitu 775mm. Sistem suspensi menawarkan jarak kelegaan tanah sekitar 160mm. Ini akan memberi penunggang Honda Monkey keselesaan seperti motosikal yang jauh lebih besar daripadanya.

Honda Monkey 2018 boleh didapati dalam gabungan krom dan skim warna yang terang iaitu merah, biru dan kuning.

Harganya pula ialah RM13,999 seunit (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran). Ia hadir dengan jaminan kilang selama dua tahun dan perbatuan sejauh 20,000 (mana-mana tiba dahulu.

Dengan pelancaran model ini, ia nyata mengukuhkan lagi komitmen Boon Siew Honda untuk membawa motorsikal yang menarik untuk pasaran tempatan.

Secara peribadinya, saya ingin melihat Boon Siew Honda membawa masuk Honda Zoomer-X pula selepas ini.

GALERI

Google ads
Back to top button