Buletin

NISSAN PENING – NISSAN LEAF 2026 BELUM DILANCARKAN TAPI DAH ADA MASALAH!

Nissan berdepan cabaran awal dalam usaha melancarkan model Leaf generasi ketiga, walaupun ia masih belum tiba di bilik pameran.

Salah satu faktor yang mencetus kebimbangan adalah penamatan insentif kenderaan tenaga baharu oleh pentadbiran Amerika Syarikat, yang sebelum ini membolehkan pembeli menjimatkan sehingga AS$7,500 (kira-kira RM35,300).

Dengan tarikh akhir manfaat itu ditetapkan pada 30 September, harga kenderaan elektrik dijangka meningkat manakala permintaan pula menurun.

Namun begitu, keputusan Nissan untuk mengehadkan pengeluaran Leaf baharu ini tidak semata-mata berpunca daripada isu insentif tersebut.

Laporan dari Jepun menunjukkan syarikat itu sedang menyesuaikan pelan pengeluaran berikutan sekatan eksport unsur nadir bumi oleh China.

Menurut agensi Kyodo News, langkah Beijing itu telah menyebabkan kekurangan komponen, walaupun perinciannya masih belum jelas.

Unsur nadir bumi merupakan bahan penting dalam banyak sektor termasuk automotif, dan sekatan ini turut menjejaskan pengeluar lain seperti Ford dan Suzuki. Pembekal komponen juga berhadapan kesukaran mendapatkan bahan mentah yang diperlukan untuk memenuhi permintaan industri.

Persatuan Pembekal Automotif Eropah baru-baru ini memberi amaran bahawa rantaian bekalan kini berdepan gangguan besar disebabkan sekatan eksport dari China, yang menjejaskan kedua-dua kenderaan enjin pembakaran dalaman dan juga kenderaan elektrik.

Krisis ini bukan sahaja mengancam kelangsungan pengeluaran kenderaan, malah turut memberi impak kepada ribuan pekerjaan di seluruh Kesatuan Eropah.

Leaf generasi baharu yang diperkenalkan bulan lalu hadir dengan rekaan bergaya crossover dan kabin berteknologi tinggi.

Model ini dijangka tiba di pasaran Amerika Syarikat pada musim luruh tahun ini, dan akan ditawarkan dalam dua pilihan trenkuasa: satu varian asas dengan bateri 52kWh digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 174hp, dan satu lagi varian dengan bateri 75kWh serta motor berkuasa 215hp.

Namun, dengan cabaran geopolitik dan dasar tempatan yang membayangi pelancarannya, masa depan model ini tampak lebih sukar daripada jangkaan.

Google ads
Back to top button