
NISSAN PRIMASTAR SEASIDE CAMPER, HASIL KERJASAMA DENGAN PEMBUAT RV
Hasil kerjasama Nissan dengan pembuat Recreational Vehicle (RV) terkemuka iaitu Dethleffs, Nissan mula memasarkan sebuah kenderaan RV kompak pada pengguna yang gemarkan aktiviti lasak dan berkhemah. Nissan Primastar Seaside merupakan produk pertama kerjasama antara 2 syarikat ini bagi menawarkan sebuah kenderaan unik kepada pembeli yang berminat dengan aktiviti lasak.
RV ini diasaskan daripada model Nissan Primastar van panel dikuasakan dengan enjin 2000cc turbodiesel yang menawarkan pilihan samaada 150 atau 170 kuasa kuda. Bergantung pada kehendak pelanggan, mereka boleh memilih samaada varian manuan atau automatik 6 kelajuan.

Paling istimewa RV ini datang dengan bumbung “pop up” yang menawarkan 4 tempat tidur bersaiz dewasa. 1 tilam bersaiz 200×125 cm akan dipasang di dalam kabin RV manakala 1 tilam bersaiz 189x125cm akan dipasang di bawah bumbung “pop up” yang boleh dibuka bagi membenarkan udara segar masuk.
Antara kemudahan lain yang turut ditawarkan oleh RV ini termasuklah:
1. Satu set dapur gas memasak dengan sinki serta kabinet menyimpan perkakasan dapur
2. Peti sejuk bersaiz 36 liter

3. Meja makan boleh dipasang dan disimpan muat untuk 4 orang dengan kerusi boleh berpusing. Pembeli boleh memilih untuk memasang 2 lagi kerusi tambahan jika diperlukan bagi memuatkan 6 penumpang. Semua kerusi akan dipasang di atas rel yang boleh dialihkan jika perlu memuatkan barangan besar
4. Sistem infohibur bersaiz 8 inci dengan ciri pandu arah untuk pemandu
5. Khemah tambahan yang disimpan di bahagian sisi van dan boleh dibuka ketika berhenti rehat bagi menyediakan ruang santai untuk pembeli

Buat masa ini Nissan Primastar Seaside Camper ini hanya dipasarkan untuk negara Jerman dan Peranchis sahaja. Pembeli akan menerima jaminan pengeluar termasuk semua aksesori yang dipasang selama 5 tahun atau 160,000km jarak perjalanan.


