Pandu Uji

PANDU UJI NISSAN X-TRAIL: MAKIN LAMA MAKIN SEGAK

Sebulan yang lepas penulis dihubungi oleh rakan karib untuk meminta pendapat berkenaan pembelian kereta baru milik beliau. Memandangkan model yang dipilih merupakan model plug-in hybrid buatan Jerman, penulis mencadangkan agar beliau memberi peluang mencuba jentera yang berasal dari Sweden dengan teknologi yang sama, namun dengan sentuhan dan rekaan yang berbeza. Dengan rekaan lampu depan “Thor Hammer” di  bahagian depan dan juga tombol gear yang dibuat daripada kristal sebenar membuatkan rakan penulis tidak tidur malam sehinggalah beliau selesai menempah unit SUV tersebut.

Namun disebabkan kediamannya merupakan unit kondominium dan pihak pengurusan gagal menyediakan punca kuasa untuk proses mengecas, maka rakan penulis terpaksa menunda proses pembelian SUV tersebut walaupun pinjaman beliau telah lulus dengan bergaya. SUV plug-in hybrid akan beroperasi dengan cemerlang jika bateri yang dibekalkan dicas secukupnya. Ia menawarkan penggunaan petrol sekitar 43.47km per liter ataupun 2.3 liter petrol bagi pemanduan sejauh 100km. Namun ia masih menjana kuasa sekitar 407 kuasa kuda.

Nissan X-Trail Hybrid

Jadi sebagai alternatif jika anda menghadapi masalah yang sama seperti rakan penulis, maka solusi yang senang ialah menggunakan kereta dengan teknologi hibrid penuh tanpa unit pengecas. Sama seperti dengan teknologi yang ditawarkan oleh X-Trail Hybrid. Bateri sistem akan dicas ketika kereta mula membrek (regenerative braking) atau ketika menuruni bukit. Bateri yang penuh membantu kereta ketika memecut atau beroperasi secara automatik dalam mode elektrik jika keadaan membenarkan. Untuk memahami lebih kanjut berkenaan teknologi Hibrid, anda boleh membaca artikel penuh di SINI.

Rekabentuk Luaran

Dengan meniru konsep platform MQB, Pakatan Nissan-Renault mula menghasilkan satu platform serba baru dan fleksibel untuk dikongsi oleh kedua-dua jenama dalam usaha memastikan kos pembangunan model baru dapat diturunkan. Platform ini dinamakan sebagai Common-Module Family direka agar ia memiliki rekaan fleksible bagi ruang enjin, front under body, rear under body, kabin penumpang dan juga sistem elektrik. Platform CMF-CD ini boleh digunakan pada 14 buah model yang berlainan.

Panjang keseluruhan X-Trail ialah 4690mm, lebar 1820mm, dan juga tinggi 1740mm. Manakala jarak antara roda pula dikekalkan seperti model lama iaitu pada 2705mm. Secara asasnya X-Trail ada banyak persamaan dengan sepupu jauhnya yang berbangsa Perancis iaitu Renault Koleos. Namun dari segi rekabentuk luaran, ia langsung tidak menerima sentuhan Lauren van den Acker, tetapi mencuri beberapa rekaan unik daripada Nissan Murano, Qashqai dan juga Patrol. Rekaan lama yang sedikit membulat dan bujur digantikan dengan rekaan yang lebih bersegi.

Muka depan X-Trail dikemaskinikan dengan rekaan gril V-Motion yang lebih besar dan maskulin, bampar yang lebih bersegi dan tegas, lampu kabus segi empat dan juga lampu depan teknologi LED.  Rekaan tepi menerima 2 pembahuruan iaitu kemasan krom pada bahagian bawah pintu depan dan belakang serta satu set rekaan rim aloi dengan kemasan warna hitam. Rekaan rim ini diperhalusi dengan rekaan 5 bilah berkembar. Bahagian belakang menerima kemas kini yang minimal sahaja iaitu warna lampu belakang diubah menjadi sedikit gelap

Shoulder line yang melarus bermula dari fender depan, bersambung dengan pintu depan dan berkahir pada pintu belakang masih lagi kekal. Secara keseluruhan rekaan baru pada X-Trail ini memberikan imej yang garang sedikit berbanding dengan model lama yang kelihatan direka untuk akauntan dan juga cikgu sekolah yang pencen.

Rekabentuk Dalaman

Sesungguhnya rekaan lama papan pemuka bagi X-Trail amat membosankan ibarat membaca kamus di perpustakaan. Jadi Nissan telah memberi kemaskini seperti rekaan roda stering yang baru di mana ia rata di bahagian bawah bagi memberi imej sporti. Rekaan butang kawalan audio dan juga Adaptive Autocruise telah diberi sentuhan yang lebih moden. Brek yang diaktifkan dengan kaki telah digantikan dengan brek bantuan elektrik serta fungsi AutoHold. Papan pemuka menjadi sedikit ringkas dengan tema warna hitam mendominasi keseluruhan rekaan hiasan kulit menjadikan keseluruhan rekaan nampak esklusif.

Untuk unit Hibrid, paparan meter digital yang diapit oleh meter analog disibukkan dengan pelbagai informasi seperti aliran tenaga, operasi sistem Adaptive AutoCruise, ECO Pedal Guide, dan juga jarak perjalanan yang dilakukan oleh X-Trail dalam mode elektrik. Nasib baik tiada sensor untuk kira pencemaran radiasi di Kuantan. Varian hibrid kekal menjadi sebuah SUV 5 tempat duduk kerana sedikit ruang diperlukan untuk memasang unit bateri dan sistem kawalan hibrid di ruang kargo.

Tanpa barisan tempat duduk barisan ketiga, X-Trail hibrid menawarkan ruang kargo sebesar 550 liter dan masih mampu memuatkan tayar space saver. Terdapat satu tempat khas dimana pemilik boleh menyimpan Tonneu Cover jika tidak digunakan dan ia menjadi ruang yang baik bagi menyembunyikan barang berharga milik penulis.

Enjin dan Transmisi.

X-Trail menggunakan enjin yang sama seperti Serena iaitu enjin 2000cc 4 silinder sebaris dengan teknologi pancitan bahan api terus. Ia juga turut dilengkapkan dengan teknologi pemasaan injap CVTC pada bahagian injap kemasukan dan juga ekzos bagi tujuan penjimatan bahan api yang bagus. Enjin ini menjana sekitar 144 kuasa kuda pada 6000RPM dan juga 200Nm tork pada 4400 RPM.

Unit hibrid membekalkan tenaga elektrik 0.9kWh dari bateri Lithium Ion terus kepada motor elektrik. Motor elektrik ini akan menghasilkan 41 kuasa kuda dan 160Nm tork menjadikan kuasa gabungan sistem sekitar 179 kuasa kuda. Secara perbandingan enjin 2500cc QR25DE menghasilkan 171 kuasa kuda. Kuasa enjin akan dihantar pada unit transmisi CVT yang memiliki rekaan unik 2 klac. Satu klac mengawal kuasa dari enjin dan satu lagi klac mengawal kuasa dari motor elektrik.

Akses untuk bahagian belakang dibantu dengan bukaan pintu seluas 77 darjah dan pintu kargo boleh dibuka dan ditutup dengan menggunakan butang kawalan, atau sentuhan dan juga menerusi pengaktifan kaki (kick action)

Pengalaman Pemanduan

1. Kerusi pemandu yang disediakan menggunakan teknologi Zero Gravity namun ia tidak cukup lembut jika dibandingkan dengan Serena. Sokongan di bahagian belakang (lower back) dan juga kaki adalah bagus walaupun dipandu 5 jam tanpa henti. Ia boleh diubahsuai kepada 8 cara dengan bantuan kuasa elektrik.

2. Rekaan stering nampak lebih muda berbanding dengan rekaan lama. Ia memuatkan unit kawalan audio di sebelah kiri dan butang kawalan Adaptive Auto Cruise di sebelah kanan. Gabungan penggunaan kulit, jahitan benang, krom dan kemasan perak menimbulkan rasa mahal bila digenggam.

3. Rekaan papan pemuka kekal sama dengan rekaan “waterfall”. Ciri terkini seperti brek bantuan elektrik dan fungsi AutoHold memodenkan rekaan dalaman. Tombol kawalan gear menawarkan kawalan manual walaupun menggunakan transmisi CVT. Unit meletak minuman di belakang  tombol gear ada ciri penyejukan dengan menggunakan udara sejuk penyaman udara.

4. Kawalan penyaman udara menggunakan paparan digital dan kawalan manual termasuk fungsi Automatik. Penumpang depan boleh memiliki zon kawalan suhu yang berlainan. Corong penyaman udara untuk tempat duduk belakang turut disediakan.

5. Perehat tangan menawarkan ruang simpanan yang sederhana besar bersama dengan ciri punca kuas 12volt dan juga unit pengecas USB.

6. Kemasan pintu menggunakan plastik lembut pada bahagian atas sama seperti yang digunakan pada papan pemuka. Malah perehat tangan di bahagian pintu menggunakan plastik yang sangat lembut menyebabkan siku penulis tenggelam dalam balutan kulit. Rekaan ini ditegaskan lagi dengan penggunaan tombol pintu kemasan krom namun direncatkan dengan kemasan plastik berkilat dengan tema carbon fiber. Nampak kurang konsisten

7. Ruang simpanan pada semua pintu hanya memuatkan botol air minuman sebesar 500ml sahaja. Kerusi belakang boleh dilipat hampir rata bagi menggandakan ruang kargo asal 550 liter menjadi 1550 liter. Sangat sesuai untuk anda memborong durian musang king di Raub.

8. Sebaik sahaja enjin dihidupkan, kereta akan bermula dalam mode elektrik sudah cukup untuk anda menggunakan kuasa elektrik untuk keluar dari parkir rumah dan keluar dari kawasan perumahan jika anda memandu kurang dari 40km/j.

9. Disebabkan transmisi CVT ini digandingkan dengan sistem klac, maka proses penghantaran kuasa pada halaju rendah sedikit kurang memuaskan. Ia terasa seperti menaiki kereta manual yang dipandu oleh budak baru belajar memandu sedang mengimbangi klac. Namun jika anda meminta kuasa yang lebih, klac ini bertindak sangat cemerlang dan menghantar kuasa dengan sangat lancar.

10. Sistem klac ini diperlukan bagi mengasingkan kuasa enjin dan motor. Dalam mode elektrik hanya motor sahaja membekalkan kuasa melalui klac. Dalam mode hibrid, kedua sistem akan bekerjasama memberikan kuasa pada sistem CVT. Dalam sesetengah keadaan juga hanya enjin yang memberikan kuasa pada sistem transmisi CVT. Jika ia bertukar pada mode elektrik, hanya sistem klac dan motor elektrik saja yang berfungsi dan enjin akan mati secara automatik walaupun anda sedang meluncur selaju 100km/j.

11. Respond pedal minyak apabila ditekan boleh dikatakan sangat mengujakan walaupun SUV ini memiliki berat 1634kg. Mungkin kerana bantuan motor elektrik yang responsif, maka pergerakan SUV ini  di laluan bandar agak tangkas ketika menyelit. Proses start-stop juga berlaku dengan sangat lancar dengan pemampat penyaman udara kekal beroperasi membekalkan udara sejuk pada hari yang panas.

12. Respon stering bantuan elektrik boleh dikatakan neutral bagi model X-Trail jauh lebh bagus dari Serena yang kadangkala sedikit kaku dan mudah mengalami understeer. Pada halaju kebangsaan, anda boleh mengawal stering dengan baik dan bersahaja. Namun sebaik sahaja anda mula menjadi sedikit nakal, X-Trail ini akan menjadi sedikit understeer mengingatkan anda bahawa SUV ini adalah sebuah hibrid bukannya kereta sukan.

13. Sistem suspensi yang dibekalkan menggunakan Topang McPherson pada roda depan dan sistem MultiLink pada roda belakang. Kedua dua sistem dipautkan pada bar penstabil untuk kestabilan ketika mengambil selekoh. Talaan suspensi dibuat dengan mementingkan keselesaan dan ia terbukti apabila penulis memandu melalui jalan Grik-Jeli yang berselekoh, berlopak dan tidak rata. Ia kekal seronok dipandu seperti sedan milik penulis tapi kekal selesa. Tak melambung seperti kereta sedan penulis.

14. Secara keseluruhan prestasi enjin dan transmisi ini bekerjasama dengan baik membekalkan kuasa yang mencukupi dan dinamik pemanduan yang bagus. Pecutan yang diberikan sedikit menyentap pada permulaan namun ia beransur-ansur menjadi lembut dengan halaju bertambah secara sekata. Jika anda terus menekan pedal minyak, ia akan cuba untuk kekal pada 4400 RPM dimana tork maksima dihasilkan. Jika pedal ditekan lebih, ia akan meraung sekitar 5000RPM tanpa sebarang tindakbalas dari segi pecutan.

Penulis hanya menggunakan fungsi pemanduan ECO semasa memandu secara tetap di lebuh raya. Penggunaan fungsi ini di jalan biasa atau ketika mendaki bukit akan menjejaskan keseronokan pemanduan.

15. Namun segala gegaran, bunyi enjin, kekasaran operasi enjin serta permukaan jalan dikekang dengan baik daripada sampai ke telinga pemandu dan juga penumpang. Anda masih berasa sangat tenang memandu SUV ini walaupun anda sedang memotong kenderaan lain di laluan mendaki dan berselekoh. Penulis juga mendapati terdapat satu cagak enjin tambahan pada bahagian atas enjin bagi memastikan tiada getaran sampai ke kabin.

16. Sama seperti model hibrid yang lain, penggunaan pedal brek memerlukan pemandu baru untuk membiasakan sedikit dengan pedal brek. Salah satu sebabnya ialah operasi brek regeneratif yang bertujuan mengecas bateri sistem mneyebabkan rasa brek tidak neutral. Anda mungkin merasakan pedal minyak sudah ditekan kuat dan kereta mulai perlahan, namun ia masih meluncur dan pedal brek perlu ditekan lebih sedikit untuk menghentikan kereta. Setelah beberapa hari memandu, anda akan dapat membiasakan diri dengan sistem brek.

17. Jika anda merupakan pemandu yang berhemah dan mengekalkan kelajuan 110km/j termasuk melalui tol lebuhraya TANPA palang (tol masih ada ya), maka seliter petrol membolehkan anda memandu sejauh 16.05km. Angka ini hanya kurang sedikit berbanding dengan angka rasmi 16.2km per liter dan bagi penulis ia satu angka yang wajar dipuji memandangkan berat dan saiz Xtrail ini bukanlah kecil. Secara purata penggunaan petrol saya adalah sekitar 16km per liter petrol bagi penggunaan 4 hari.

Bunyi Bising, Getaran dan Gegaran

18. Nissan merupakan juara bagi kategori ini dan bacaan yang diambil membuktikan X-trail memang senyap dan selesa

Halaju km/jRPMBunyi dB
60-80120055.3
90150057.4
100170059.7
110190061.5
120200063.2
130220065.6

Sistem Keselamatan

19. Selain daripada sistem brek ABS, ESC dan juga EBD, Nissan turut melengkapkan X-Trail dengan

A. Intelligent Trace Control – setiap tayar akan membrek dengan tekanan yang berbeza bagi membantu mengambil selekoh dengan lancar

B. Intelligent Engine Brake – menggunakan CVT dan enjin sebagai brek tambahan dan mengawal inertia pada kereta

C. Active Brake Limited Slip – jika terdapat tayar yang hilang cengkaman, brek akan mula diaktifkan secara automatik

Nissan Intelligent Mobility

20. Tidak cukup dengan pelbagai sistem keselamtan di atas, Nissan turut melengkapkan X-Trail dengan Nissan Intelligent Mobility. Anda boleh membaca berkenaan sistem tersebut di SINI. Secara ringkasnya sistem ini merangkumi:

A. Amaran Pra-Perlanggaran Hadapan dan Brek Pra Perlanggaran Depan

B. Sistem Adaptive AutoCruise

C. Sistem Amaran Pengawasan Lorong

D. Sistem Amaran Titik Buta

E. Sistem Kamera 360 darjah

F. Sistem Lampu Tinggi Automatik

Apa yang Perlu Ditambah Baik

21. Tayar yang dibekalkan ialah Continental Cross Country sangat bagus dalam mengurangkan bunyi jalan, namun gagal memberikan cengkaman yang bagus ketika kereta mula memecut. Ia gagal menghantar tork daripada enjin ke permukaan jalan dengan kemas.

22. Unit audio menghasilkan bunyi yang memuaskan dari segi bass dan trebel. Adalah lebih bagus jika Nissan dapat memasang pembesar suara dari jenama premium. Butang kawalan di roda stering adalah terhad kepada menukar lagu dan menguatkan suara. Ia tidak boleh digunakan untuk menukar fail lagu.

23. Ciri peta dan tunjuk arah hanya memaparkan ciri asas saja. Adalah lebih baik jika ia berasaskan peta Google yang sentiasa dikemaskini

24. Sama seperti jenama Jepun yang lain, mereka tidak berjaya menghasilkan kualiti gambar video 360 darjah seperti X70.

25. Ciri Adaptif AutoCruise perlu memiliki ciri Low Speed Follow bagi mengurangkan beban pemandu ketika di dalam kesesakan jalan raya.

Spesifikasi

Model dan VarianNissan X-Trail 2WD Hybrid
EnjinMR 20DD 2000cc DOHC Dual CVTC
Kuasa Enjin142 kuasa kuda @ 6000 RPM
Tork Enjin200Nm @ 4400 RPM
Motor Elektrik41 kuasa kuda dan 160Nm tork
Bateri0.9kWh Lithium Ion
Kuasa Sistem179 kuasa kuda
Penggunaan Petrol16.1km per liter (diuji)
TransmisiCVT dengan klac berkembar
Suspensi DepanMcPherson dan bar penstabil
Suspensi BelakangMultiLink dan bar penstabil
Saiz Tayar225mm/65 R17
Ciri KeselamatanABS, EBC, ESC
Intelligent Trace Control
Intelligent Engine Braking
Active Brake Limited Slip
Nissan Intelligent Mobility

Kesimpulan

Ketika X-trail mula dipasarkan di Malaysia, saya berpandangan ia SUV yang selesa namun ciri keselamatannya jauh ketinggalan dengan pesaingnya yang lain. Rekaannya yang bulat dilihat terlalu lembut dan pasif. Nissan mendengar kehendak pasaran Malaysia dan responnya ialah X-Trail versi naik taraf yang baru. Karekternya lebih garang, dilengkapi dengan ciri Nissan Intelligent Mobility yang canggih, enjin yang berkuasa, selesa dan menjimatkan bahan api.

Jika anda merasakan model plug-in hybrid terlalu mahal dan anda tidak mempunyai kemudahan pengecasan yang bagus, Nissan X-Trail adalah satu alternatif yang sangat bagus untuk anda.

Petronas MREC – Desktop
Tags
Google ads
Back to top button