Buletin

NISSAN SERENA AUTECH SPORTS SPEC 2WD UNTUK JEPUN, SERENA E-POWER KINI DENGAN PACUAN E-4ORCE

Nissan Serena generasi keenam diperkenal di Jepun pada November 2022 dan setakat ini sudah memasuki pasaran Singapura dan Indonesia.

Keistimewaan Serena baharu terletak pada rangkaian kuasa e-Power dengan enjin 1.4 liter membekalkan tenaga elektrik dan tidak menggerakkan roda. 

Enjin berfungsi sebagai penjana tenaga dan tugas memusingkan roda diserahkan kepada motor elektrik.

Nissan Serena e-4ORCE Highway Star V

Selain e-Power, Nissan juga mempunyai teknologi kawalan pacuan empat roda (4WD) elektrik yang dipanggil e-4ORCE dan sekarang ini digunakan pada X-Trail selain model elektrik Leaf dan Ariya.

Terbaru Nissan mengumumkan Serena e-Power pasaran Jepun turut dilengkapi e-4ORCE dan bakal dijual pada pertengahan November dan awal Disember.

Seperti biasa Nissan tidak meninggalkan varian sporti dan menawarkan Serena Autech yang dilengkapi pelbagai perkakasan khusus.

Nissan Serena Step Type

Pelanggan yang mahu pacuan dua roda (2WD) boleh dapatkan versi Autech Sports Spec yang baru diperkenalkan.

e-4ORCE terdiri daripada dua motor iaitu di depan dan belakang.

Sistem mengawal daya kilas dan pembrekan setiap roda secara bebas dan mengutamakan bahagian yang mempunyai cengkaman paling tinggi untuk pendakian dan mengurangkan kesan terlebih dan terkurang belok (over/understeer).

Nissan Serena Second Slide-Up Seat

Sistem e-4ORCE bertindak balas sehingga 10,000 kali sesaat bagi membuat penyesuaian terhadap keadaan yang berubah-ubah dan laluan mencabar.

e-4ORCE berfungsi di dalam pelbagai keadaan seperti permukaan licin, off-road dan di selekoh.

Selain Serena Autech dan varian X, V dan Highway Star V, teknologi e-4ORCE juga dilengkapi pada model Slide Up (kerusi boleh alih) dan Multi-Bed (dengan katil).

Nissan Serena Multi-Bed

Varian Autech Sports Spec istimewa dengan warna khusus Caspian Blue yang menggambarkan lautan dan langit Shonan dan Chigasaki iaitu tempat Autech diasaskan.

Penampilan varian Autech memang berbeza dengan bampar, jeriji, pendakap bawah bampar dan skirt sisi. Rim 17 inci dipadan bersama tayar Michelin Pilot Sport saiz 215/55ZR17.

Tidak sekadar menjual gaya, Serena ini menggunakan ampaian khas dan Performance Damper dari Yamaha.

Nissan Serena Autech Sports Spec

Depan dan belakang van dipasang palang pengukuh dan stereng berkuasa elektrik turut mempunyai tetapan khusus.

Pemetaan komputer juga berbeza untuk memperkemaskan lagi kuasa dan pecutan yang unik pada kenderaan e-POWER. Nissan turut mempertingkat tebatan bunyi untuk mutu pemanduan yang baik.

Bahagian dalam istimewa dengan kerusi dibalut kulit tiruan dan terpampang logo Autech. Riasan biru menjalar dari depan sehingga belakang dan banyak lagi ciri-ciri istimewa.

Serena Autech Sports Spec 2WD digerakkan rangkaian kuasa e-Power 1.4 liter HR14DDe-EM57 (motor elektrik tunggal).

Varian dan model lain dengan pacuan e-4ORCE termasuk Autech 4WD dibekalkan e-Power HR14DDe-EM57-MM48 (dua motor).

Selain e-Power, Nissan turut menawarkan Serena dengan enjin 2.0 liter MR20DD tanpa hibrid dan pacuan 2WD atau 4WD.

Harga Serena e-Power dengan e-4ORCE bermula dari 3,614,600 yen (RM102,525) sehingga 4,088,700 yen (RM115,978).

Autech Sports Spec 2WD pula berharga 4,386,800 yen (RM124,431) dan 4,486,900 yen (RM127,275) untuk Autech e-4ORCE.

Google ads
Back to top button