
LOTUS ESPRIT TURBO DENGAN TEKNOLOGI EKSPERIMENTASI F1 UNTUK DIJUAL – HEBAT NI
Kereta-kereta sport lama macam Lotus Esprit Turbo 1980 ni boleh dibeli kalau kita mempunyai tabungan yang mencukupi. Tapi kalau ia mempunyai peralatan eksprimentasi teknologi perlumbaan macam F1 ia agak mustahil untuk dimiliki walaupun dengan wang yang banyak. Jadi kalau anda mampu ini peluang terbaik anda untuk memiliki modek bersejarah ini.

Ia sebenarnya sebuah Lotus Esprit ‘Essex’ Turbo keluaran tahun 1980. Pada peringkat pra-pengeluaran ia dipinjamkan kepada DeLorean sebelum dikembalikan kepada Lotus. Lotus Engineering kemudian memasang kelengkapan ujian suspensi aktif untuk Formula Satu.
Kereta ini diwarnakan dengan liveri John Player Special kerana mereka merupakan penaja pasukan F1 Lotus ketika itu. Ia kemudian ditampilkan sebagai model promosi untuk acara-acara permotoran dan pernah muncul dalam rancangan Top Gear dipandu oleh Nigel Mansell, bekas pelumba F1.

Kereta ini kemudiannya disimpan dalam sebuah hangar dan ditutup sepenuhnya sehinggalah Proton muncul sebagai pemilik baru Lotus pada tahun 1996.
Proton mahu model prototaip ini dimusnahkan (betul ke ni) tapi pengurus platform Esprit, Brian Angus, menyorokkannya dan ia dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia kekal berada dalam persembunyian sehinggalah tahun 2005 bila Angus menemui seorang pengurus kanan yang bersetuju dengan kepentingan kereta ini. Ia diberikan proses restorasi dan dipamerkan dengan megah di dalam kilang Lotus.
Kewangan Lotus yang agak kritikal memaksa mereka menjual kereta ini pada tahun 2016. Ia dijual kepada bekas jurutera Lotus dan anaknya yang kemudian membelanjakan sekitar £60,000 untuk membaik pulih Lotus tersebut.

Antara yang dibaik pulih ialah enjin, kotak gear, pendawaian baharu, sistem brek, ekzos dan macam-macam lagi. Patutlah mahal kosnya. Cat asal original dikekalkan menjadikannya lebih eksklusif.
Sistem suspensi aktif ujian dan kotak kawalannya masih kekal di dalam kereta ini cuma ia tidak lagi beroperasi. Nak baiki pun boleh sebab penjualnya berjaya menemui sebuah firma yang boleh memperbaiki sistem tersebut.
Dapat kereta prototaip yang rare macam ni pun dah cukup hebat. Apa sangatlah sistem suspensi ujian yang tak berfungsi tu. Janji dapat tekan butang-butang dekat kotak kawalan tu boleh la perasan jadi pemandu F1. Ia bakal dilelong dan harganya dikatakan boleh mencecah USD105,000 (dalam kadar tukaran sekarang tak sampai pun RM500k).






