
NISSAN SERENA FACELIFT 2019. GRIL V-MOTION LEBAR DAH MACAM VELLFIRE
Nissan Motor semalam mempamerkan foto model MPV popularnya, Serena di laman web rasmi Nissan Jepun. Sebagai model facelift, Serena dengan kod C27 itu nyata menerima banyak perubahan.
Paling ketara pastinya gril hadapan yang kini begitu lebar seperti Toyota Alphard/Vellfire. Gril V-Motion itu bagaimanapun khas untuk varian e-Power sahaja.

Rekaan yang garang itu diserlahkan lagi dengan sepasang lampu kabus yang diletakkan di dalam perumah berwarna hitam. Tidak ketinggalan, rim aloi dengan gayaan baru.
Varian e-Power dilengkapi sistem keselamatan Nissan Intelligent Mobility yang merangkumi kamera 360 darjah, kawalan jelajah adaptif, Rear Cross Traffic Alert (RCTA), lampu utama adaptif dan brek kecemasan pintar.
Untuk varian lain, Serena menggunakan gril yang lebih kecil (juga V-Motion) bersama sepasang lampu utama dan bampar hadapan yang telah disemak semula rekaannya.

Bahagian belakang juga diubah terutama pada bahagian lampu yang kini diposisikan lebih tinggi dan bampar.
Nissan menawarkan emat pilihan warna untuk ruang kabin iaitu premium (kemasan kulit), di samping tona berwarna hitam dan kelabu, hitam dan beige untuk tempat duduk dibalut fabrik.
Serena dijangka terus menggunakan enjin sedia ada iaitu empat selinder bersesaran 2.0 liter yang mampu menjana kuasa 150PS dan tork 200Nm.

Sementara varian e-Power dipasang dengan enjin tiga selinder yang dipadankan bersama kotak gear Xtronic CVT.
Dua warna baharu iaitu oren dan kelabu turut ditambah, menjadikan semua warna yang ditawarkan kepada pelanggan kepada sembilan.

Warna-warna lain termasuklah merah, coklat, perak, biru, hitam, putih dan emas.