Buletin

HONDA ACCORD BAHARU KINI DI INDONESIA, 1.5 VTEC TURBO (RM205K!)

Pameran Kenderaan Antarabangsa GAIKINDO (GIIAS) 2019 di Jakarta, Indonesia berlangsung dengan menarik sekali.

Banyak tarikan yang dibawa seperti pelancaran global Honda X-ADV 150 dan Toyota Supra baharu.

Selain itu GIIAS 2019 juga menjadi medan pelancaran Honda Accord baharu selepas diperkenalkan di Thailand pada Mac lalu.

Tidak dinafikan model ini sangat lambat tiba di pasaran ASEAN selepas penjualan di Amerika Syarikat pada Oktober 2017.

Honda Accord pasaran Amerika Syarikat

Honda Accord generasi kesepuluh ini tampil berbeza dengan model sebelumnya dengan bentuk ala fastback, lebar dan rendah yang menampakkanya sebagai sebuah sedan eksekutif sporti.

Di Indonesia, Accord hanya ditawarkan dalam pilihan enjin tunggal iaitu 1.5 liter VTEC TURBO yang turut menguasakan Honda CR-V dan Civic.

Enjin yang digunakan berkuasa 190 PS dengan tork maksimum 260 Nm dari 1,600 hingga 5,000 rpm.

Enjin tersebut dipadankan bersama transmisi CVT dengan fungsi Sport Mode dan paddle shift.

Honda Accord Hybrid pasaran Thailand

Di Thailand, Accord ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu 1.5 liter VTEC TURBO dan 2.0 liter hibrid.

Honda Accord di Indonesia kini cenderung sebagai sedan premium dengan pelbagai kelengkapan canggih dan harga yang ditawarkan.

Accord dilengkapi teknologi canggih Honda Sensing yang terdiri daripada sistem berikut:

  • Collision Mitigation Brake System (CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW), Road Departure Mitigation System (RDM) dengan Lane Departure Warning (LDW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF) dan Auto-High Beam.

Selain teknologi bantuan pemandu tersebut, Accord juga dilengkapi dengan ciri keselamatan penuh seperti:

  • Enam beg udara, ABS + EBD + BA, Auto Brake Hold, Hill Start Assist, Motion Adaptive EPS + VSA, Multi-Angle Rear View Camera, Auto High Beam, Honda LaneWatch, dan Driver Attention Monitor yang dapat mengenal pasti pemandu hilang fokus dan memberikan peringatan untuk berehat.
Honda Accord Hybrid pasaran Thailand

Untuk keselesaan dalaman, Accord dilengkapi kerusi pemandu dengan larasan elektrik dan fungsi memori. Kerusi sebelah penumpang mempunyai fungsi empat larasan berkuasa.

Bahagian ruang kaki penumpang juga kini lebih luas dengan penambahan 48 mm berbanding model sebelumnya. Ini ciri menarik memandangkan Accord sebelum ini sudah pun mempunyai ruang kaki yang luas.

Isian barang untuk but pula lebih luas pada 573 liter walaupun dari luar tampak seperti pendek dan singkat dek bentuk badan fastback.

Honda Accord pasaran Amerika Syarikat

Dari segi warna terdapat empat pilihan iaitu White Pearl Platinum, Crystal Black Pearl, Modern Steel Metallic dan Lunar Silver Metallic.

Harga di atas jalan Honda Accord ialah IDR698,000,000 (RM205,665) dan jelas tinggi jika dibandingkan dengan Accord generasi kesembilan di pasaran tempatan.

Harga tersebut sebenarnya setara dengan Honda Accord 1.5 VTEC TURBO EL di Thailand iaitu THB1,500,000 (RM200,105).

Di pasaran tempatan pula kereta segmen D buatan Jepun sebenarnya telah pun menghampiri angka yang sama apabila Toyota Camry 2.5V yang dimport dari Thailand dijual pada harga RM196,888.

Honda Accord pasaran Amerika Syarikat

Jadi bagaimana pula dengan Honda Accord pasaran tempatan? Kita tunggu pelancarannya kelak sama ada kekal harga pada paras sekarang atau setara dengan dua jiran di ASEAN.

Untuk rekod Honda Accord 2.0 VTi-L dijual pada harga RM148,512 manakala Honda Accord 2.4 VTi-L Advance dengan Honda Sensing pula berharga RM168,998.

Google ads
Back to top button