Buletin

‘VIA SAFE MOBILITY MALAYSIA 2023’ TARIK LEBIH 2,000 PELAJAR, DILAKSANAKAN DI 137 BUAH SEKOLAH

Program ‘VIA Safe Mobility Malaysia 2023’ usaha kerjasama antara TotalEnergies Malaysia dan ARUS Academy, berjaya menarik lebih daripada 2000 pelajar dari seluruh Malaysia.

Program berkenaan turut menerima lebih daripada 90 poster tentang cara pelajar mentafsirkan keselamatan jalan raya sebagai sebahagian daripada pertandingan dalam program tersebut.

Sejak dilancarkan pada Julai 2022, program VIA Safe Mobility Malaysia telah memberi kesan positif kepada 43,150 pelajar berumur 10 hingga 16 tahun di Malaysia.

Pada tahun 2023, program ini telah dilaksanakan di 137 buah sekolah di seluruh Malaysia, dengan 42 sekolah menyertai pertandingan melukis poster keselamatan jalan raya.

“Program VIA Safe Mobility mempunyai tempat istimewa dalam hati kami kerana ia mencerminkan komitmen kami untuk memupuk komuniti yang bertanggungjawab dan mempromosikan keselamatan jalan raya.

“Pengajaran inisiatif ini melampaui batasan bilik darjah; ia meluas ke jalan-jalan yang dilalui pelajar setiap hari dan komuniti tempat mereka tinggal,” ujar Pengarah Urusan TotalEnergies Marketing Malaysia, Jennifer Li.

Program VIA Safe Mobility Malaysia 2023 merupakan bukti kuasa kerjasama dan pendidikan dalam mewujudkan perubahan positif.

TotalEnergies Malaysia dan ARUS Academy mengucapkan tahniah kepada tiga pemenang kebangsaan pertandingan melukis poster; Sekolah Kebangsaan Desa Pandan di Kuala Lumpur, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kajang, dan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (2).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama ARUS Academy, Alina Amir berkata “memberdayakan belia menjadi duta keselamatan jalan raya bukan hanya tentang melindungi nyawa hari ini tetapi memastikannya lebih selamat pada hari esok.

“Dedikasi yang ditunjukkan oleh pelajar dan sokongan daripada semua pihak berkepentingan adalah bukti kejayaan program ini.”

Google ads
Back to top button