OPEL MANTA 400, KERETA RALI YANG PAYAH BENAR NAK JUMPA
Dalam era perlumbaan rali berpuluh tahun dulu, kita biasa dihidangkan dengan Lancia, Audi atau Ford. Tetapi ada satu nama yang jarang kedengaran tetapi tidak kurang hebatnya iaitu Opel Manta. Mungkin juga kurang popular sebab masa itu rali sudah memasuki era 4WD dan tenggelam dek Audi Quattro yang lebih hebat.
Ceritanya begini. Sebelum Manta, pelumba rali legenda Walter Rohl berjaya menjulang Kejuaraan Rali Dunia (WRC) tahun 1980 menggunakan Opel Ascona 400.
Dan sebelum itu lagi pada tahun 1979 Opel telah membina dua model kereta rali iaitu Ascona B dan Manta B tetapi Ascona B pergi lebih jauh dan sedap berbanding Manta B disebabkan nisbah pembahagian berat yang lebih baik. Projek kereta rali ini dibuat dengan kerjasama Imscher dan Cosworth.
Selepas kejayaan WRC dan beberapa tahun selepas itu, Pengurus Pasukan Opel Motorsport iaitu Tony Fall membuat keputusan untuk menggunakan Manta pula dalam WRC dan nampaknya tidak berapa berjaya disebabkan Audi Quattro yang lebih berkuasa dengan pacuan 4WD.
Walaupun pada masa itu atau lebih tepat pada tahun 1984 bermulanya era pacuan 4WD tetapi Opel tetap terpahat dalam sejarah WRC apabila Ascona 400 merupakan kereta pacuan belakang (RWD) terakhir yang berjaya menjuarai perlumbaan rali dunia tersebut.
Walaupun Manta 400 tidak berjaya dalam WRC, model ini digunakan di peringkat kebangsaan (national rally) oleh Guy Frequelin yang bersaing hebat dengan Jimmy McRae dan Russell Brookes dalam Kejohanan Rali Terbuka British. Pada tahun 80 an, kedua-dua mereka ini menggunakan Manta 400 yang sama dan memang epiklah.
Dan selepas berpuluh-puluh tahun, sebuah Manta 400 tahun 1984 standard habis dibuka untuk jualan kepada mereka yang berminat pada acara Lelongan Kereta Klasik (CCA) di Pusat Pameran Warwickshire, UK, 2 Disember ini.
Cerita tidak habis lagi sebenarnya. Manta 400 yang hendak dijual ini ialah salah satu daripada hanya 245 unit di dunia yang dibuat untuk homologasi rali Kumpulan B. Kereta ini diimport oleh Tony Fall, Pengurus Pasukan Opel Motorsport yang disebut awal tadi.
Manta 400 ini memang berada dalam keadaan baik sebab tidak digunakan untuk rali dan memang terjaga elok. Ia dibeli oleh Encik David Little dari Lurgan, Country Armagh, dan lagi satu kisah menarik apabila pada asalnya kereta ini mempunyai stereng sebelah kiri.
Pemiliknya telah menghantar Manta ini ke pengedar utama Vauxhaul Opel yang bernama Pentlands untuk diubahsuai kepada stereng sebelah kanan. Pemilik unit unit memang sayang habis sebab keretanya lagi banyak tersimpan dalam garaj. Pandu keluar pun pada hujung minggu untuk ke acara rali tempatan dan hanya pada musim panas yang kering.
Pada tahun 2005 dan selepas berpuluh tahun dalam keadaan terjaga, kereta itu akhirnya bertukar tangan kepada pemilik kedua. Beliau mengambil keputusan untuk melakukan projek pemulihan sepenuhnya (full restoration).
Proses pemulihan mengambil masa lebih dari 12 bulan di mana hampir setiap bahagian kereta ditanggalkan dan ditembak dengan pasir (sandblast) dan powder coat. Enjin dan kotak gear telah dibina semula sepenuhnya untuk kembali kepada keadaan asal keluaran kilang.
Kesemua ciri-ciri asal Manta 400 seperti enjin suntikan bahan api (fuel injection) 2400cc 16V yang dibina oleh Cosworth, kotak gear lima kelajuan dan roda Ronal lima lubang dikekalkan termasuk set ekzos lengkap Irmscher yang jarang dan sukar (rare) untuk diperolehi.
Berikut ialah ciri-ciri lain dan eksklusif pada Opel Manta 400 ini:
- Arca roda, spoiler belakang, pelekat kelabu dan kuning asli dan balutan kerusi Opel Blitz
- Fail sejarah yang mengandungi dokumentasi import asal sejak tahun 1984, resit dan gambar kereta sepanjang proses pemuliharaan dan sijil MoT (Puspakom UK) sejak tahun 1990 yang menunjukkan jarak perbatuan hanya 29,634 kilometer
- Majalah Opel Manta Owners Club tahun 2017 di mana model ini dipaparkan
- Kelab Pemilik Manta percaya hanya 12 unit Manta sahaja dikeluarkan dalam warna Astro Silver
Berapa pula harga kereta ini? Kelab Pemilik Manta menarafkan model ini pada tahap concours A1 pada semua ciri-ciri yang ada dan CCA (Lelongan Kereta Klasik) menganggarkan nilai harga pra jualan dari GBP 40,000 hingga GBP 50,000 atau bersamaan dengan RM 219,791 hingga RM 274,727.
Walaupun kurang popular seperti Audi Quattro atau Lancia Stratos atau Ford Escort, Opel Manta ini boleh dikatakan tahap super rare sebab berita mengenainya pun jarang-jarang sekali keluar apatah lagi unit yang hendak dijual.
BACA: INILAH LANCIA STRATOS, KERETA RALI LEGENDA 70 AN + MARKKU ALÉN
BACA: FIAT SUPERMIRAFIORI 131 – BILA OLSKOOL JEPUN HILANG DARI RADAR