ŠKODA FABIA DAN ALKISAH TIGA KETURUNANNYA
Itu hari, ada juga yang bertanyakan tentang perihal Škoda Fabia yang bukan R5 punya. Jadi, kali ini Brader Karrager suka untuk berkongsi perihal Škoda Fabia dan keturunannya.
BACA : ŠKODA FABIA R5 – KECIL-KECIL CILI API
BACA : VOLKSWAGEN SEDANG UJI PROTOTAIP POLO R 300BHP – SUPERMINI BARU?
Secara umumnya, Škoda Fabia ini adalah merupakan sebuah supermini yang telah pun berada di pasaran semenjak 1999 ketika generasi pertamanya mula menjengah pasaran. Kebiasaannya, tiga varian akan ditawarkan untuk menampung kehendak pembeli yang mungkin berbeza seperti hatchback, estet dan juga sedan. Fabia ini juga adalah keberhasilan daripada kerjasama antara Škoda Auto dan juga induknya, Kumpulan Volkswagen.
Generasi Pertama
Ianya mula dipertontonkan buat pertama di Frankfurt Motor Show pada September 1999 dan produksinya dimulakan pada bulan berikutnya. Fabia ini juga merupakan pertama kali berkongsi platform A04, milik A04 Kumpulan VW.
Antara model yang dibangunkan berdasarkan platform ini adalah seperti Volkswagen Polo Mk4, Audi A2 dan juga SEAT Ibiza. Pilihan enjin adalah antara 1.0 liter petrol sehinggalah ke 1.9 liter diesel yang digunakan oleh Fabia VRS.
Model ini menggunakan enjin daripada Kumpulan VW dengan pendesak turbo serta dilengkapi dengan kotak gear manual enam kelajuan. Ianya turut memenangi anugerah Diesel Car of the Year 2003 di Scottish Car of the Year Awards.
Generasi Kedua
Generasi kedua mula diperkenalkan ketika Geneva Auto Show 2007. Masih menggunakan platform yang sama walau bagaimanapun dimensinya telah mengalami perubahan. Škoda Fabia kali ini kelihatan sedikit besar. Cuma rekabentuknya kali ini kelihatan agak jambu.
Barangkali untuk membezakan antara model milik VW dan juga Škoda. Inginkan rupa bentuk garang boleh beli Polo. Bangsa feeling feminin pilihlah Fabia.
Untuk generasi kedua tiada varian sedan yang diperkenalkan, menjadikan varian estet sahaja sebagai pilihan untuk mereka yang sudah berkeluarga. Manakala untuk penggemar jiwa kelajuan, model RS masih diperkenalkan, kali ini menggunakan nadi 1.4 Liter I4 TSI, sama seperti Volkswagen Polo Mk5 yang turut dipadankan dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan.
Generasi Ketiga
Generasi terbaharu ini kali ini meninggalkan imej jambu, dan kali ini kembali berupa perkasa laksana abangnya si Polo itu. Dibina di atas platform PQ26, ianya masih lagi berkongsi dengan Polo Mk5. Walau bagaimanapun, tiada versi RS yang diperkenalkan dek kerana jualan yang kurang memberangsangkan untuk versi terdahulu.
Dan pembabitan Škoda Motorsports dengan pembinaan jentera rali R5 berasaskan Fabia ini serta model S2000 untuk generasi sebelumnya berjaya melonjakkan lagi nama serta jualan Fabia ini di serata dunia.