Buletin

WANITA BERPUTIH MATA, KENA SCAM LEBIH RM132K BELI KERETA TERPAKAI

Kes penipuan membabitkan penjualan kenderaan semakin kerap muncul di dada akhbar sejak kebelakangan ini.

Seperti sedia maklum, modus operandi hampir semua kes adalah serupa iaitu menerusi pengiklanan di media sosial.

Baru-baru ini, seorang wanita terpaksa berputih mata apabila membeli kereta terpakai tidak wujud yang dijual di laman Facebook, 1 Jun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata mangsa pada mulanya terlihat sebuah iklan menjual kereta terpakai di Facebook dan menghubungi pemilik akaun berkenaan.

Tambahnya, mangsa mengalami kerugian RM132,860 secara keseluruhan.

“Mangsa membuat bayaran keseluruhan 25 kali membabitkan enam akaun bank, melibatkan jumlah keseluruhan RM132,860, sebelum tersedar ditipu apabila diberitahu rakannya ketika mahu meminjam wang dari rakannya itu,” katanya.

“Suspek sebelumnya menghubungi mangsa melalui whatsApp dengan memperkenalkan diri sebagai penjual kereta dan menghantar gambar kad pengenalan untuk menyakinkan mangsa.

Mangsa kemudian diminta membuat bayaran melalui perbankan dalam talian ke akaun bank suspek lalu diperdaya tidak boleh membatalkan pembelian atas alasan insurans telah didaftarkan atas nama mangsa, jika terjadi apa-apa mangsa akan dipertanggungjawabkan.”

“Bapa mangsa kemudian membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya lagi.– Berita Harian

Google ads
Back to top button