Buletin

BISNES KERETA TERPAKAI TERJEJAS GARA-GARA SCAMMER GUNA NAMA SYARIKAT SEDIA ADA

Pengusaha kereta terpakai di Kuantan mendakwa perniagaan mereka terjejas selepas nama dan maklumat syarikat digunakan sindiket penipuan dalam urusan jual beli kenderaan tidak wujud sejak tahun lalu.

Isu itu menyebabkan imej syarikat dan perniagaan mereka tercalar sehingga menimbulkan kebimbangan pelanggan untuk berurusan atau membeli kereta-kereta terpakai yang ditawarkan.

Seorang peniaga, Thomas Wong, 71, berkata, perniagaannya terjejas hampir 50 peratus selepas terdapat hampir 30 kes penipuan jual beli kereta menggunakan nama syarikatnya dikesan sejak tahun lalu.

Menurutnya, sindiket menggunakan identiti syarikatnya termasuk nombor telefon dan alamat kedainya di Jalan Datuk Wong Ah Jang di sini untuk mengiklankan kereta melalui laman sosial Facebook atau aplikasi WhatsApp.

“Tujuannya dipercayai bagi menyakinkan pelanggan untuk berurusan dan memperdaya mangsa untuk membayar wang deposit.

“Lebih membimbangkan, ada mangsa datang ke kedai untuk menuntut kereta dibeli dengan membawa dokumen kelulusan pinjaman penuh menggunakan kepala surat syarikat lengkap dengan nombor telefon dan alamat.

“Sedangkan kami tidak menyediakan pinjaman dan tidak pernah mengeluarkan sebarang dokumen seperti itu,” katanya.

Tambah Thomas, syarikatnya juga tidak pernah mengiklankan kereta-kereta terpakai yang dijual melalui laman sosial.

“Ekoran kejadian, dua laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu dalam tempoh dua tahun ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perniagaan Motor dan Kredit Pahang, Donald Chan berkata, lebih 100 kes penipuan menggunakan nama syarikat ahli dikesan dan beberapa laporan polis dibuat setakat ini.

Menurutnya, ada ahli (peniaga kereta terpakai) mendakwa sindiket menggunakan gambar kereta milik mereka untuk memperdayakan mangsa.

“Sasaran mereka golongan yang terdesak untuk memiliki kereta terutama golongan berpendapatan rendah atau mereka disenaraihitamkan dan tidak layak membuat pinjaman bank.

“Kereta yang ditawarkan biasanya model-model mendapat permintaan tinggi termasuk dari jenama tempatan dengan harga jauh lebih murah dari pasaran.

Beliau berkata, akhirnya peniaga akan dicari oleh mangsa terlibat sehingga ada yang dituduh terlibat dengan penipuan itu.

“Kami menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk membeli kereta supaya berurusan langsung dengan kedai-kedai kereta yang sah dan berlesen.

“Jangan mudah percaya dengan iklan kereta yang ditawarkan pada harga murah melalui media sosial bagi mengelak ditipu,” katanya. – Utusan Malaysia

Google ads
Back to top button