Buletin

PADA 2007, HONDA CROSSROAD DIPERKENAL DI JEPUN (GANTI HR-V GENERASI PERTAMA)

Salah satu aktiviti pengeluar kereta ialah bereksperimen dengan pelbagai model untuk melihat sambutan pasaran. 

Contoh terdekat ialah bagaimana Proton sendiri mengeluarkan pelbagai model niche seperti van mini Juara dan pikap kecil Arena.

Sebenarnya bukanlah bereksperimen tetapi cuba untuk memenuhi pelbagai keperluan pelanggan.

Jika gagal, perkara tersebut boleh dianggap sebagai pelajaran dan maklumat untuk masa depan.

Pelajaran sebegini tidak terhad kepada Proton sahaja, pengeluar lain turut mengamalkan perkara sama dan ada yang benar-benar berjaya akhirnya.

Sebagai contoh Honda Crossroad, sebuah SUV yang pada asalnya disalin atau rebadge daripada Land Rover Discovery (Series 1).

Honda memperkenalkan Crossroad selepas kajian pasaran mendapati segmen SUV semakin popular dan model ini dijual di pasaran Jepun dari tahun 1993 hingga 1998.

Nama Crossroad kemudian muncul semula pada Februari 2007 melalui model SUV serba baharu dan menariknya ia menggantikan HR-V generasi pertama di Jepun.

Jika Crossroad pertama berbentuk rugged dan lasak, model baharu ini tampil lebih kecil dan berkotak ala Humvee.

Walaupun nampak kecil, Crossroad pasaran Jepun mempunyai tiga baris tempat duduk yang boleh memuatkan tujuh penumpang.

Honda memang mahir mengeksploitasi ruang kerana ukuran panjang SUV ini hanya 4.285 meter sahaja.

Dari segi enjin pula, Honda menawarkan dua pilihan iaitu 2.0 liter i-VTEC dan 1.8 liter i-VTEC dan menggunakan teknologi Drive By Wire.

Kedua-dua enjin tersebut boleh dipilih dengan pacuan roda depan atau empat roda (Real-Time 4WD) dan hanya transmisi automatik lima kelajuan sahaja ditawarkan.

Teknologi Real-Time 4WD menggunakan roda depan di dalam pemanduan normal dengan pengagihan kuasa kepada roda belakang sewaktu mula memandu dan memecut dan juga apabila melalui jalan bersalji atau pada keadaan yang memerlukan lebih cengkaman.

Teknologi ini memberikan lebih penjimatan minyak berbanding pacuan kesemua roda pada setiap masa.

Honda Crossroad ditawarkan di Jepun lima varian  iaitu 18L, X Package, 18X, 20X dan 20Xi.

Varian dengan pacuan 4WD mempunyai sistem cengkaman jalan seperti Antilock Brake System, Traction Control System, Sideslip Control dan Hill-Start Assist yang pertama kali diperkenalkan untuk model Honda.

Sistem bantuan pemanduan sebenarnya telah lama diperkenalkan pada kenderaan Honda di mana Crossroad telah pun ditawarkan kelengkapan pilihan seperti Intelligent Highway Cruise Control (IHCC) dan Collision Mitigation Brake System (CMBS) pada tahun 2007 lagi.

IHCC berfungsi dengan mengawal kelajuan kenderaan dan jarak seterusnya mengurangkan bebanan pemandu di atas lebuh raya.

CMBS pula memberikan amaran audio dan visual serta pembrekan sebagai peringatan kepada pemandu dan membantu dalam mengelak berlakunya kemalangan.

Ciri seperti ini boleh didapati pada Honda CR-V 1.5 TC-P yang ditawarkan kepada pengguna tempatan.

Semasa dilancarkan pada tahun 2007 Honda Crossroad dijual dengan harga permulaan JPY 1,932,000 hingga JPY 2,780,000.

Berbanding Crossroad generasi pertama yang mempunyai tempoh penjualan selama lima tahun, model ini hanya berada di pasaran sehingga 2010 sahaja.

Selepas dua generasi, Crossroad tidak lagi berada di pasaran dan Vezel atau HR-V generasi kedua kembali ditawarkan pada tahun 2013.

Percubaan demi percubaan akhirnya berjaya dan lihatlah jumlah HR-V hari ini yang laku keras di banyak buah negara termasuk Malaysia.

Satu lagi perkara menarik untuk dikongsi, Honda Crossroad sebenarnya boleh dibeli di kedai jualan kenderaan terpakai yang asalnya diimport sebagai unit recond.

Harga yang ditawarkan agak tinggi iaitu sekitar RM60,000 dan ianya betul-betul rare (dan mekap sikit boleh jadi Humvee mini).

Google ads
Back to top button