Buletin

TESLA MODEL 3 – KOS PEMBAIKAN DENGAN KEROSAKAN BEGINI PUN BOLEH CECAH RM148K!

Tidak dapat dinafikan bahawa Tesla berjaya menjadikan kenderaan elektrik (EV) sebagai sesuatu yang cool dan mengikut trend semasa. 

Namun begitu, terdengar banyak rungutan daripada pemilik Tesla yang tidak berpuas hati dengan aspek selepas jualannya.

Pelanggan bukan sahaja perlu menunggu lama untuk kereta mereka diservis jika mengalami kerosakan. Malah, kos pembaikan sebuah Tesla juga sangat tinggi. 

Gambar di atas ini menunjukkan tahap kerosakan yang dialami oleh sebuah Tesla Model 3. Sekali pandang, ini jelas bukanlah kemalangan yang serius. Tetapi bil yang diterima boleh menyebabkan pemiliknya sakit jantung. Bayangkan, kos kerosakan begini hampir AS$36,000 (RM148,000)!

Insiden itu dikongsi oleh pemilik Model 3 tersebut, Josh yang membuat tempahan awal sebaik sahaja kereta itu dilancarkan di pasaran Amerika Syarikat. Selepas memandu selama lapan bulan dengan jarak sejauh 14,500km, kereta itu terlibat dalam satu kemalangan kecil apabila dilanggar oleh sebuah Lincoln Navigator dari arah belakang. 

Mimpi ngeri Josh bermula apabila syarikat insurans meminta Model 3 itu ditunda ke sebuah bengkel bertauliah. Di sana dia mendapat tahu anggaran pembaikan sebanyak AS$9,540 (RM39,246). Jika baterinya rosak, EV itu boleh dikategorikan sebagai total loss. 

Beberapa hari kemudian, sebuah bengkel lain memberi anggaran kos pembaikan sebanyak AS$21,956 (RM90,316), naik lebih dua kali ganda berbanding anggaran kos bengkel pertama. Syarikat insurans bersetuju untuk membayar AS$7,437 (RM30,592) lagi, menjadikan kos yang ditanggung oleh insurans mencecah AS$16,978 (RM69,839). 

Namun, nasib malang terus menghantui Josh apabila rel kerangka keretanya itu pula perlu dibaiki. Kos pembaikan itu kini melonjak kepada AS$35,638 (RM146,597), termasuklah tempoh kerja buruh selama 167 jam. 

Jadi, sekiranya kos pembaikan menjadi semakin mahal, syarikat insurans mungkin akan menjadikan status kereta itu sebagai total loss sahaja. 

Selepas enam minggu kemalangan, Josh tidak tahu bilakah tarikh keretanya akan dibaiki. Kesian betul..  

Google ads
Back to top button