
AKSESORI PILIHAN SUPER MEWAH UNTUK MEREKA YANG SUPER KAYA
Apa yang nak dilakukan jika satu hari anda ditakdirkan menjadi super kaya? Adakah anda akan bangun akan bangun dan terus pergi ke ruang pameran untuk membeli kereta baru (maklumlah anda memang seorang peminat kereta)? Kalau betul anda memang masih belum berfikir macam orang kaya. Kalau kami sendiri kami akan beli dulu sebuah rumah agam dengan garaj untuk sekurang-kurangnya 100 buah kereta, kemudian barulah kita mula pergi beli kereta untuk isi dalam garaj tadi. Dan sebagai orang yang ingin membeli kereta mewah semestinya kita akan ditawarkan dengan aksesori pilihan yang terbaik, ini adalah antara aksesori paling mahal dan unik pernah ditawarkan.
Spirit of Ecstacy

Kekayaan duniawi tidak akan lengkap jika anda tidak memiliki Rolls-Royce. Melihatnya bergerak di atas jalan raya sudah cukup untuk menilai peribadi pemilik yang mahukan sesuatu yang terbaik untuk dirinya. Dan untuk anda pemilik Rolls-Royce, hiasan bonet depan terkenal yang dikenali dengan nama ‘Spirit of Ecstacy’ boleh ditempah dalam varian yang boleh menyala ataupun siap dengan saduran emas dengan kos RM44k.
Sut Perlumbaan dan Topi Keledar Keselamatan Aston Martin Vantage AMR

Mana lengkap hidup orang kaya tanpa sebuah grand tourer untuk track day hujung minggu. Jika anda peminat gaya hidup James Bond, Aston Martin mungkin sesuai dengan anda. Dan jika anda memilih model Vantage, anda boleh memilih kelengkapan sut perlumbaan dan helmet homologasi FIA sebelum menghiasnya dengan nama anda dan bendera negara.
Beg Golf Ferrari

Bila dah kaya takkan tak minat main golf kan? Macam Pak Amit, dia memang tak minat main golf tapi dia lebih minat pergi minum kopi di kelab golf sambil berangan jadi kaya. Jika anda memiliki sebuah Ferrari, anda mendapatkan beg golf tempahan khas yang boleh dipadankan dengan warna kemasan dalaman kereta anda. Tapi jangan buat kesilapan amatur, beli beg golf mahal-mahal tapi isi dalam beli dengan harga lelong. Jaga sikit status orang kaya tu.
BACA: TIADA LAGI MODEL GANTIAN TOYOTA 86
Hiasan Bumbung Starlight Rolls-Royce

Memang menyakitkan hati sebagai orang kaya bila nak bawa pasangan anda menikmati langit malam dan kerlipan bintang tapi cuaca pulak mendung. Tapi Rolls-Royce boleh menyelesaikannya dengan hiasan bumbung Starlight mereka. Ia dihasilkan mengggunakan teknologi nyalaan gentian optik untuk menghasilkan efek langit pada waktu malam di dalam kereta anda. Ia juga boleh dilaras mengikut kehendak anda.
Kabinet Minuman Rolls-Royce Phantom

Kalau dah kabinet minuman tentunya ia untuk kegunaan minum minuman keras. Tapi dah kereta tu milik kita, siapa peduli kalau kita nak minum air mineral je pun. Nak tebu? Cincau? Susu kocak? Semua boleh tapi yang penting kabinet itu sendiri bernilai RM58,000!
Sport Rim Gentian-Karbon Porsche

Jika anda membeli sebuah Porsche 911 Turbo S Exclusive Series, Porsche menawarkan khusus untuk anda sport rim yang dihasilkan daripada gentian karbon. Berbeza daripada rim gentian karbon biasa, Porsche menggunakan hampir 20 helaian gentian karbon untuk menghasilkan setiap unit sport rim ini. Malah mesin untuk menghasilkan jalinan gentian karbon ini sendiri adalah setinggi 30 kaki dan hasilnya ialah sport rim yang cukup kukuh dan akan mengurangkan kekayaan anda sebanyak RM74,000!
Beg Bagasi Tempahan Khas BMW i8

Kalau dah kereta macam BMW i8 ni ruang bagasi memang akan menjadi masalah. Tapi BMW memang bijak kerana mereka menawarkan pilihan untuk anda mendapatkan beg bagasi tempahan khas untuk kereta ini. Jangan bimbang kerana ia bukannya dari jenama beg sekolah cap angsa anak anda tapi ia merupakan hasil rekaan Louis Vuitton yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Harganya pun boleh tahan, RM82,000 saja.
Cat Istimewa Bentley

Anda sudah cukup kaya dan mempunyai sebuah Bentley. Sayangnya dengan warna standard walaupun pada sebuah Bentley ia masih kurang ummph dan tidak menarik perhatian ramai. Sebagai penyelesaian Bentley menawarkan warna khas yang diadunkan dengan ribuan cebisan kecil aluminium untuk memberikannya kilauan tambahan sebagai daya penarik. Kosnya yang mencecah RM131,000 mungkin membuatkan anda teragak-agak sebelum membuat pilihan tetapi itulah harga untuk menarik perhatian ramai. Alah duit boleh cari lain apa.
Rim Tempa Ferrari

Rupa-rupanya rim termahal dunia masih lai merupakan rim yang ditempa dari aluminium. Rim Ferrari khas ini contohnya dihasilkan dengan teknik potongan berlian yang menjamin ketepatan dan kemasan yang terbaik. Untuk mendapatkannya bersedialah untuk berpisah dengan RM192,000 dari akaun bank anda.
Kemasan Gentian Karbon Pagani Huayra

Kosnya? Hmm,RM625,192 untuk memastikan supercar ini mendapatkan kemasan gentian karbon asal tanpa layangan cat. Naked la kiranya ni. Tapi kena ingat Pagani Huayra ini bukan bukannya murah. Kalau nak jimat sikit boleh je Pagani cat dengan tema dua tona dengan harga separuh dari kos di atas tapi itu juga akan membuktikan yang anda belum cukup kaya.