
PAMERAN AUTOMOTIF DI CALIFORNIA ‘BOM JANGKA’ PENULARAN COVID-19?
Penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah mengakibatkan banyak pameran automotif terpaksa dibatalkan termasuk Woodward Dream Cruise.
Bagaimanapun, budaya automotif ini tetap subur dalam acara-acara kecil di seluruh Amerika Syarikat (AS).
Salah satu pameran automotif tersebut merupakan anjuran Loma Linda University di Calirfornia.
Acara amal yang diadakan pada minggu lalu bertujuan membantu gelandangan malah hanya menyasarkan kira-kira 12 buah kenderaan sahaja.
Menurut NBC Los Angeles, sasaran berkenaan tersasar sama sekali apabila Jabatan Sherif San Bernardino menganggarkan kira-kira 3,000 hingga 4,000 pengunjung hadir pada acara tersebut.
Bahkan, para pengunjung sama sekali tidak mengamalkan penjarakan fizikal seperti perancangan awal.
Beribu-ribu orang berkerumun dan mendekati kenderaan-kenderaan di kawasan pameran.
Keadaan menjadi semakin buruk sehingga para pegawai terpaksa mengisytiharkan pameran automotif itu sebagai potensi penyebaran Covid-19.
Pihak berkuasa dan polis terpaksa menghentikan pameran automtif itu serta mengeluarkan beberapa saman.
Dalam pada itu, pihak penganjur telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf kerana menyukarkan kerja pihak hospital, pengawal keselamatan kampus, Jabatan Sherif dan kehidupan penduduk sekitar.
“Kami gagal menjangka acara akan menjadi begitu besar berbanding perancangan awal. Kami masih mengenalpasti secara terperinci bagaimana ia boleh berlaku agar tidak berulang lagi,” kata kenyataan itu lagi. – carscoops.