Artikel Pilihan

CALIFORNIA BAKAL BENARKAN NOMBOR PENDAFTARAN DIGITAL – KITA MASIH LEKA DENGAN NOMBOR FANCY

Ketika kita masih lagi dengan isu nombor pendaftaran tak cukup saiz, nombor fancy, perniagaan nombor pendaftaran khas dan macam-macam lain lagi, California sudah pun mula menguji nombor pendaftaran digital. Ya, digital tuan-tuan. Kalau televisyen dijadikan perbandingan kita ni masih menggunakan televisyen hitam putih dan perlukan lesen radio TV macam yang datuk nenek kita bayar satu ketika dahulu.

Projek ini memang bakal memberi keuntungan kepada syarikat Reviver yang memperkenalkan sistem ini tapi kalau ianya membawa kebaikan apa salahnya. Nombor pendaftaran RPlate keluaran Reviver ini sudah dibenarkan penggunaannya di beberapa wilayah di AS tetapi California amat penting kerana ia mencatatkan pendaftaran kereta baharu terbanyak di AS setiap tahun.

Tapi jangan ingat bila ia digital anda tidak perlu mempamerkan nombor pendaftaran macam biasa. Ia masih perlu dipaparkan dengan saiz yang sama di hadapan dan belakang cuma kali ini ia dalam bentuk digital.

Masih juga kena tebuk lubang untuk memasangnya tapi kini ia kelihatan lebih bergaya dan moden. Nampak macam skrin LED bersaiz mini dan boleh dilaras pencahayaannya seperti paparan telefon pintar anda.

RPlate juga memaparkan semua maklumat penting seperti tarikh tamat tempoh cukai jalan (contoh), wilayah dan semestinya nombor pendaftaran kenderaan. Sebagai tambahan anda boleh memaparkan mesej peribadi untuk tatapan pemandu di belakang. Contohnya seperti ‘Selamat Hari Raya’ ataupun ‘Juara Rali Mentakab 7 Kali’ dan sebagainya.

Tapi ingat sebelum digunakan, RPlate ini mesti mendapat kelulusan bertulis daripada Jabatan Peronda Lebuhraya California. Jadi sebelum nak tulis status pelik-pelik tu tunggu sehingga ia diluluskan terlebih dahulu.

Menariknya lagi selepas penggunaannya diluluskan, nombor pendaftaran digital ia mesti diedarkan secara percuma oleh Reviver tanpa sebarang bayaran tertentu. Nampak tak sistem negara maju macam mana. Ini tak, disuruhnya kita tukar kad baharu tapi kena bayar lain pulak.

Bukan itu sahaja, RPlate ini juga dihubungkan juga dengan sistem GPS dan telematics. Bukan itu sahaja, anda juga boleh memperbaharui nombor pendaftaran ini secara atas talian.

Adakah penggunaan RPlate akan membuatkan kita disaman kerana memandu terlalu laju? Tidak tuan-tuan kerana sambungannya boleh diputuskan secara manual oleh pemilik kenderaan. Jadi kalau memandu laju sekali sekala tu jangan lupa untuk memutuskan talian terlebih dahulu okey.

Senang pecah tak skrin RPlate ni bang? Susah dik, kerana ia adalah lima kali lebih kuat berbanding skrin telefon pintar yang kita gunakan. Ia juga kalis air, tahan suhu panas, kalis beku dan siap dengan waranti seumur hidup tanpa syarat.

Macam mana pihak berkenaan? Tak nak cuba kat Malaysia ke? Ke nak buat kajian dahulu? Ataupun mungkin kena hantar rombongan pegawai buat lawatan ke California selama 2 minggu dahulu?

Google ads
Back to top button