
PANDU KERETA TANPA LESEN, REMAJA 13 TAHUN DITAHAN BERSAMA IBU DAN RAKAN
Pihak polis telah menahan seorang remaja lelaki bawah umur kerana memandu tanpa lesen dengan membawa ibu dan rakannya.
Menerusi video yang tular, kereta jenis Proton Iswara Aeroback berwarna hitam itu dipandu oleh remaja lelaki berusia 13 tahun kira jam 3 petang di Jalan Rozhan, Macang Bubuk di Bukit Mertajam.
Melalui video berkenaan, polis berjaya mengesan remaja itu sebelum menahannya di hadapan Flat Taman Machang Bubuk pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, “Remaja itu memandu kereta sejauh kira-kira empat kilometer dan gelagatnya dilihat orang awam menyebabkan mereka menahannya sebelum tular di media sosial.”
“Selain remaja itu, polis turut menahan ibunya berusia lewat 40-an dan rakan yang juga berusia 13 tahun kerana berada dalam kereta ketika kejadian,” katanya.
Polis mengambil tindakan dengan mengeluarkan tiga saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saman itu dikeluarkan mengikut Seksyen 26(1) kerana tiada lesen memandu, Seksyen 39(1) kerana memandu di bawah umur dan ibu suspek yang juga pemilik kereta disaman di bawah Seksyen 39(5) kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu.
“Polis menasihati ibu bapa dan masyarakat supaya jangan cuai dan lalai dengan membenarkan kanak-kanak memandu kereta atau menunggang motosikal,” Jelas Tan Cheng San. – Harian Metro







