Pandu Uji

PANDU UJI: HYUNDAI ELANTRA 2021, HANYA UNTUK JEJAKA HENSEM BERGAYA

Awal tahun 2000 merupakan tahun kebangkitan produk jenama Korea, baik Kia mahupun Hyundai. Kedua-dua model ini menawarkan satu produk yang dijual lebih murah berbanding dengan pesaing mereka dari Jepun.

Sebuah sedan segmen C Korea berharga sama dengan sedan segmen B Jepun. Letak pula brek ABS dan 2 beg udara yang biasanya tidak ditawarkan pada varian termurah Jepun. Maka pembeli merasakan jenama Korea lebih berbaloi untuk dibeli.

Walaupun atas kertas nampak spesifikasi jenama Korea ini lebih baik daripada jenama Jepun, tetapi prestasi di atas jalan agak hambar bagaikan durian tawar. Serba tak kena dengan kereta Korea ini. Ergonomik ke laut, penjimatan bahan api ke sungai, ride & handling ke tasik dan prestasi enjin serta kotak gear rasa tak lancar. Prestasi atas kertas tidak mencerminkan prestasi di atas jalan raya.

Tetapi selepas beberapa hari memandu Hyundai Elantra CN7 generasi ketujuh, penulis rasa ada banyak perubahan yang dilakukan oleh Hyundai pada sedan segmen C ini. Syukurlah kerana ketika banyak pengeluar berlumba-lumba menghasilkan SUV/Crossover, Hyundai masih mengeluarkan sedan segmen C. Malah berjaya mengilap kualiti Elantra ini agar setara dengan Corolla dan Civic bersama kualiti pemasangan setaraf Mazda.

Berikut adalah pemerhatian penulis sepanjang 4 hari memandu uji Hyundai Elantra CN7 2021:

1. Rekaan Sensous Sportiness – Itulah tema yang diterapkan pada model baharu ini. Bagi pasaran Amerika, ia disebut sebagai parametric dynamics. Namun kedua-dua tema itu datang dari pereka yang sama iaitu Luc Donckerwolke yang memiliki pengalaman luas bersama Audi, Bently dan Lamborghini.

Kalau anda tengok evolusi rekaan Elantra dari generasi pertama hingga ketujuh, rekaan luarnya semakin matang, ada seni dan ada jiwa. Namun perubahan utama yang dibawa oleh Elantra ialah rekaan fastback (bahagian bumbung belakang bersambung dengan bonet).

Bahagian sisi hadir dengan tema garisan tajam bersegi dan bahagian depan menggunakan jeriji depan rekaan baru. Bahagian belakang menampilkan lampu malam yang bersambung dari kiri ke kanan

Ia bukan rekaan Jepun, bukan rekaan Asia atau Korea. Sensous Sportiness adalah unik dan takkan jumpa pada kereta lain.

2. Enjin Baharu –  SmartStream 1.6MPi menampilkan enjin baru 1600cc 4 silinder dengan nisbah mampatan setinggi 11.2:1. Ia menghasilkan 121 kuasa kuda dan 154Nm tork pada 4500 RPM.

Antara teknologi baru yang diperkenalkan ialah sistem suntikan bahan api berkembar bagi setiap silinder (ada 8 injector), Thermal Management Module, sistem Continuously Variable Valve Timing dan EGR.

3. Transmisi IVT –  Kami telah mengulas dengan panjang berkenaan transmisi baru ini sebelum ini. Hyundai memang menghasilkan transmisi CVT yang sangat bagus dalam kelasnya dan pada pandangan penulis lebih baik berbanding buatan Jepun.

Ia amat lancar ketika laju, tidak tersengguk-sengguk ketika perlahan, kuasa dihantar dengan cekap dan senyap. Hyundai memang hasilkan kereta untuk eksekutif, jadi tiada penukar gear di stering disediakan kecuali pada tombol gear untuk anda bermain dengan 8 ratio maya

4. Rekaan Kabin – Dalam kelas segmen C, Elantra merupakan antara sedan yang memiliki jarak antara roda yang panjang iaitu 2,720mm, kurang 5mm sahaja berbanding Mazda 3 sedan.

Ruang kaki penumpang depan dan belakang sangat selesa dengan kusyen balutan kulit berwarna krim. Selain fit & finish yang sangat berkualiti, sokongan kusyen pada bahagian peha dan belakang yang bagus. Jika Mazda tampil dengan rekaan warna hitam klasik, Hyundai guna warna krim moden supaya ruang dalaman nampak luas

5. Papan Pemuka  –  Ada dua skrin yang memaparkan maklumat dan sangat fokus kepada pemandu. Skrin 10.25 inci di belakang stereng dan sistem infohibur 8 inci yang boleh dioperasikan dengan kawalan butang di stereng (belah kiri untuk unit infohibur dan kanan untuk kawalan pemanduan). Pemandu bagaikan berada dalam satu ruang kokpit khas untuk memandu dan terasing dari penumpang lain.

6. Pengalaman Pemanduan

6.1 – Dinamik Pemanduan – Walaupun kombinasi enjin 1.6 Smartstream dan transmisi IVT nampak biasa-biasa sahaja, tapi feel pecutan yang dihasilkan adalah seperti enjin 2,000cc yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan automatik.

Kuasa dihantar dengan sangat lancar, sampaikan orang yang tak biasa akan mengatakan ini bukan CVT. Enjin sangat senyap kecuali anda merembat sehingga 5,000rpm. Ya penulis tak gebang, sila try sendiri di bilik pameran Hyundai.

Kalau nak santai, boleh pilih mode Eco atau nak laju guna mode Sport. Kuasa enjin antara Eco, Normal dan Smart tak terasa ketara. Enjin juga tak rasa lemau walaupun dalam Eco. Kalau nak biar ECU enjin pilih, guna mode Smart. Semua mode boleh pilih dengan butang di tepi tombol gear.

6.2 – Operasi IVT – Kombinasi enjin Smartstream dan IVT nampak sangat mesra kali ini berbanding generasi ke 6. Rubber band effect hampir tiada dan bunyi IVT sangat susah nak dengar kecuali anda memang tengah tekan 5,000-6000rpm.

Memandangkan Elantra tampil dengan konsep eksekutif, tiada paddle shift ditawarkan, tapi anda boleh kawal gear dengan menggunakan rekaan tombol yang unik dan sedap dipegang. Rasa mahal kualiti plastik yang digunakan. Susah nak mengaku tapi realitinya operasi IVT rasa lebih mahal berbanding dengan CVT buatan Jepun.

6.3 – Stereng datang dengan rekaan yang unik sikit, dalam gambar nampak macam pelik tapi bila depan mata sedap tengok juga. Ada fungsi telekopik, boleh ubah ketinggian, sistem Lane Departure Watch dan Lane Departure Prevention akan diaktifkan secara automatik setiap kali enjin hidup.

Rasa masa membelok lebih natural berbanding dengan model lama. Operasi LDW dan LDP pun lebih lembut tak macam berebut stereng dengan sistem.

Kalau di atas lebuh raya, boleh hidupkan fungsi Lane Keep Assist untuk bantu pemanduan jarak jauh. Tetapi fungsi pemanas stering ini macam default dari Korea sahaja kan.

6.4 -Ride & Handling – Dulu faktor pengendalian dan keselesaan bukan kekuatan utama produk Hyundai. Kadang-kala tetapan spring dan penyerap hentak terlalu keras, tetapi apabila dipandu di selekoh dengan laju rasa membuai. Kadang-kadang terlalu lembut sehingga rasa terhenjut henjut.

Tetapi Hyunda Elantra 2021 boleh dikatakan just nice. Mungkin 48% selesa dan 52% sedikit keras untuk pengedalian. Di selekoh ia tak mengelabah beruk dan ketika melalui jalan tak rata ia cukup selesa, walaupun hanya menggunakan topang McPherson untuk roda depan dan coupled torsion beam di belakang.

7. Keselesaan Pemanduan –Aspek ergonomik pun ada pembaharuan berbanding dengan model lama. Stereng boleh diubah dan pedal minyak serta brek dipasang pada sudut yang sesuai menjadikan pergelangan kaki tidak lenguh.

Kusyen dengan sokongan belakang yang selesa serta bahagian pelapik peha yang sesuai sedap untuk perjalanan jarak jauh. Paling kurang 3 jam baru kena berhenti rehat.

Kusyen penumpang depan dan pemandu siap dengan kipas binaan dalam untuk menyejukkan bahagian belakang. Bahagian belakang pun rasa luas dengan penyandar dibuat bagaikan mengikut bentuk tubuh penumpang. Memandu pada halaju 120km/j selama 3 jam rasa bersahaja dan santai dengan Elantra. Jauh berbeza dengan Elantra lama.

8. Hyundai Smart Sense – Kalau nak dibandingkan dengan sistem Advance Driver Assist System dari Jepun, penulis rasa Hyundai Smart Sense lebih sensitif terutama dalam aspek amaran perlanggaran. Rasanya sudah beberapa kali amaran pra-perlanggaran (Forward Collision Avoidance Assistance) diberikan namun tidaklah sampai brek perlanggaran kecemasan diaktifkan.

Sistem Smart Cruise Control (dengan ciri Stop & Go) ketika dicuba rasanya lebih matang dari sistem Adaptive Auto Cruise milik pesaing. Macam ni, apabila sistem mulai mengesan kereta di depan, Elantra akan mengesan dan brek sedikit demi sedikit macam manusia buat disertai dengan enjin rasa berat sedikit dan penulis rasa IVT akan menukar ratio kepada gear rendah.

Jadi, apabila Elantra berada lebih kurang 5 meter di belakang kereta depan, ia sudah menyamai dengan halaju kereta depan. Kalau sistem lain, rasa membrek itu agak terkejut dan menyebabkan anda rasa macam brek kecemasan.

Kalau sistem Smart Cruise Control dihidupkan dengan Lane Following Assist, stereng akan mengambil alih 50% tugas memandu, mengurangkan beban dan fokus. Untuk perjalanan jauh, kita jadi kurang stress.

Elantra juga dilengkapi Blind Spot Monitor (dengan ciri Collision Avoidance Assistance iaitu ciri amaran dan kawalan stering dari memasuki lorong bersebelahan yang ada kereta), Rear Cross Traffic Alert (dengan ciri Collision Avoidance Assistance dengan fungsi brek auto untuk mengelakkan kemalangan) dan Driver Attention Warning.

Sistem ini ada 2 lagi fungsi tambahan yang tiada pada pesaing iaitu Safe Exit Warning (beri amaran apabila buka pintu di tepi jalan), Rear Occupant Alert (elakkan anak tertinggal) serta Forward Collision Avoidance Assistance -Junction (dengan keupayaan membrek secara automatik ketika memasuki selekoh sekiranya ia mengesan kereta dari arah depan).

Cuma kekurangan sistem ini ia tiada kamera 360 darjah.

9. Kadar Bunyi Kekasaran Gegaran (NVH) – Berikut ialah bacaan RPM enjin dan kadar bunyi Ketika memandu.

Bagi faktor bunyi, kebanyakan punca bunyi yang datang adalah daripada tayar disebabkan tekanan tayar 230Kpa. Sekiranya anda menukar tayar kepada jenama yang lebih premium dan merendahkan tekanan tayar kepada 220Kpa, saya percaya Elantra boleh jadi lebih senyap lagi.

10. Penggunaan Petrol –  Berbeza dengan Elantra sebelum ini, model terbaru 2021 jauh lebih jimat disebabkan penggunaan enjin Smartstream dan transmisi IVT. Pada halaju 110km/j, penulis berjaya mendapatkan bacaan purata sekitar 19.23km per liter. Sekiranya dipandu pada 100km/jam, 20km per liter petrol adalah senang untuk dicapai.

Bagi pemanduan selama 4 hari dengan jarak 811km, purata yang dicatatkan oleh Elantra ialah 19.3km per liter. Agak mengagumkan bagi kereta sedan segmen C seberat 1,210kg.

11. Harga – Cuma harga yang ditawarkan oleh Hyundai Elantra sedikit mahal iaitu pada RM158,888 dan disumbangkan oleh pelbagai faktor. Antaranya ialah:

11.1 – Elantra dipasang terus di Korea Selatan dan diimport sebagai Complete Built Unit. Kesannya ialah cukai CBU lebih mahal berbanding cukai CKD.

11.2 – Dengan keadaan ekonomi Malaysia yang tidak kukuh, nilai tukaran Won kepada Ringgit Malaysia menjadi semakin teruk.

11.3 – Berbanding model lama, Elantra NC7 datang dengan semua teknologi Hyundai Smart Sense terkini, malah ia lebih canggih berbanding Hyundai Sonata. Berdasarkan pengamatan penulis, ia berbaloi untuk dibayar.

Safe Exit Warning

11.4 – Disebabkan penulis dan keluarga pernah menggunakan empat model Korea yang berbeza sebelum ini, kualiti pemasangan CBU jauh lebih baik daripada CKD. Malah tak segan kalau nak kata kuliti pemasangannya setanding Mazda CBU.

Kalau anda nak sebuah sedan segmen C yang sporti, Mazda 3 CBU. Kalau anda seorang yang nak ikut arus perdana, boleh pilih Toyota Corolla Altis CBU Thailand. Tapi kalau muka anda iras-iras Kim Seon Ho, Elantra ini sesuai untuk anda. Oh ya, bonet belakang boleh dibuka secara automatik dengan sensor.

Google ads
Back to top button