BOSCH Mrec – Desktop
Artikel PilihanPandu Uji

PANDU UJI PERODUA ARUZ & INI PENDAPAT KAMI TENTANGNYA…

SHARE

Apabila kita bercerita mengenai kenderaan, akan wujud beberapa varian, kemasan, dan jenis kereta yang berbeza antara satu sama lain bagi memenuhi kehendak dan keperluan manusia yang berbeza. Oleh kerana negara kita bukan negara komunis dan merupakan negara demokrasi, pengguna bebas membuat pilihan memberi kereta yang memenuhi gaya hidup dan cita rasa masing-masing.

Ada kereta yang dibuat supaya mempunyai pemanduan dinamik, chassis yang tegap serta enjin yang boleh beroperasi dan didera pada rpm tinggi ketika laluan berselekoh (ok ini yang saya minat), ada yang dihasilkan untuk selesa, dilengkapi peralatan canggih dan sangat seronok untuk dipandu pada perjalanan jauh dalam keadaan santai, dan yang terakhir ialah ada yang dihasilkan untuk membuat perjalanan dari dua titik, titik A ke titik B dalam keadaan selamat, menggunakan bahan api yang sangat minima dan boleh meredah semua permukaan jalan dengan selesa.

Dan Perodua Aruz ialah sebuah kenderaan utiliti sport yang berada di dalam kategori terakhir dalam kenyataan di atas. Aruz merupakan sebuah kenderaan yang berada dalam kelas B, dan bersaing secara terus dengan Toyota Rush, Honda BRV, Toyota Avanza, Perodua Alza dan juga model baru yang akan dilancarkan iaitu Mitsubishi Xpander.

Toyo Tyre R2 – LD – Desktop

Perodua Aruz menggunakan chassis “ladder frame” dan ruang kabin dipasang di atas chassis ini, seperti sepupu jauhnya iaitu Toyota Hilux. Paling menarik ialah Toyota Avanza turut berkongsi chassis yang sama dengan Perodua Aruz di mana sistem enjin, kotak gear, sistem brek dan sistem suspensi akan dipasang pada bahagian chassis.

Rekabentuk

Rekabentuk lampu utama LED dengan lampu senja “guide light” dan bersambung dengan kemasan krom logo Perodua memberikan identiti baru pada model ini.

Sama seperti Myvi, penggunaan lampu LED utama menghasilkan rekabentuk yang lebih kemas. Malah penggunaan teknologi LED mampu memberi kebebasan bagi menghasilkan imej yang tajam. Pada bahagian belakang, rekabentuk lampu LED ini nampak lebih berseni berbanding dengan lampu belakang BRV. Kehadiran kemasan plastik pada perumah tayar depan/belakang, dan juga penutup enjin di bawah bampar depan memberikan imej gagah pada Perodua Aruz.

Enjin dan kotak gear akan dipasang secara menegak, dan kuasa enjin disalurkan pada roda belakang dengan menggunakan propeller shaft (aci pacu), dan susunan ini dikenali sebagai FR. (Front engine, Rear Wheel Drive) dimana enjin dipasang pada bahagian hadapan dan disalurkan pada roda belakang.

Susunan ini sama dengan Toyota GT 86, namun saya sama sekali tidak mencadangkan anda untuk menggunakan Perodua Aruz ini untuk aktiviti “drift”.

Berbeza dengan Honda BRV dan juga Perodua Alza, dimana kedua dua kereta ini menggunakan rekabentuk FF (Front Engine, Front Wheel Drive). Salah satu kebaikan menggunakan susunan FR ialah pembahagian berat kenderaan yang lebih sekata dan juga pecutan yang lebih baik ketika memecut.

Apabila kereta mula memecut, satu fenomena yang dinamakan “squat” berlaku. Fenomena ini terjadi kerana wujudnya perubahan berat antara gandar depan dan belakang sewaktu pecutan terjadi.

Pada kereta yang menggunakan susunan FF, fenomena ini akan menyebabkan tayar depan hilang cengkaman, dan tayar akan spin. Namun pada kereta FR, sewaktu “squat” berlaku berat kenderaan akan tertumpu pada tayar belakang, dan tayar belakang mendapat cengkaman yang lebih baik. (Salah satu sebab BMW mempunyai tayar lebar di belakang).

Sekiranya 2 kenderaan dengan berat yang sama, kuasa enjin yang sama, tetapi satu kereta dengan susunan FF dan satu kereta lagi dengan susunan FR, maka ketika memulakan perlumbaan, kereta dengan susunan FR akan memecut dengan lebih baik. Adakah penerangan ini menjawab persoalan kenapa Perodua menggunakan susunan FR untuk Perodua Aruz?

Pemanduan Perodua Aruz

Enjin dan kotak gear

Perodua Aruz dikuasakan dengan enjin 1500cc dual VVTi dan digandingkan dengan kotak gear 4 kelajuan. Ia lengkap dengan fungsi Eco Idle yang akan mematikan enjin sewaktu berhenti seketika di dalam traffik atau di hentian lampu merah. CUKUP.

Ya kuasa yang dihasilkan mencukupi untuk kegunaan Perodua Aruz untuk dipandu dari titik A ke titik B. Gear ratio yang digunakan oleh oleh Perodua Aruz direka untuk memberikan pecutan, tetapi dengan mengorbankan ratio pecutan malar.

BACA: PANDU UJI TOYOTA HARRIER

Maksud saya, sekiranya memecut Perodua Aruz, respon yang diberikan adalah cukup, akan tetapi pada halaju tinggi, seperti 120km/h, bacaan RPM adalah sekitar 3700RPM. Empat gear yang digunakan tidak cukup untuk “spread out” semua kuasa. Berikut adalah bacaan RPM enjin berdasarkan halaju (dengan empat penumpang bersaiz sederhana)

  • 70km/h – 2000RPM
  • 100km/h – 3000RPM
  • 110km/h – 3500RPM
  • 120km/h – 3800RPM

Sekiranya dibandingkan dengan Honda BRV yang menggunakan kotak gear CVT, maka BRV akan lebih lincah dan RPM akan berada pada kedudukan rendah.

Namun sedikit menghairankan, BRV hanya mampu mencatatkan penggunaan petrol sebanyak 15.5km bagi setiap liter, manakala Perodua Aruz mencatatkan 15.6km bagi setiap liter. Angka ini membuatkan Perodua Aruz dikategorikan sebagai kenderaan cekap tenaga atau EEV.

Bagi membantu pemandu memandu secara berhemah, terdapat eco meter dalam bentuk bar pada bahagian LCD tengah, sama seperti Honda. 3 bar hijau menunjukkan anda memandu dengan penggunaan petrol yang efisien

Kotak gear pula, sekiranya ia mengesan anda memandu dalam keadaan santai, dengan halus akan menukar gear tinggi secepat mungkin, bagi mengurangkan penggunaan petrol. Bagi mengatasi masalah ini, mudah saja. Pemandu hanya perlu menukar tombol gear melalui “gated shift” kepada D3 dan tekan pedal minyak. Kuasa enjin akan dihantar secara linear, enjin dual VVTi ini akan meligat pantas, tapi hanya sedikit deruman sahaja yang kedengaran.

Usah risau sekiranya anda perlu ke Genting Highland atau Cameron Highland setiap 5 tahun sekali, Perodua Aruz mampu mendaki bukit curam, tapi saya nasihatkan anda pandu di lorong kiri. Jangan berlumba dengan Hilux Cameron Highland. Tak terkejar.

Sistem Brek

Perodua Aruz menggunakan brek cakera berliang pada roda hadapan dan brek drum pada roda belakang, sama seperti BRV. Ujian brek yang dilakukan pada halaju 80km/h mendapati sistem brek Perodua Aruz ini sangat mencengkam jalan dan juga mungkin bantuan kawalan keselamatan Vehicle Stability Assist, suka saya melaporkan bahawa brek kecemasan Perodua Aruz sangat stabil.

Tiada fenomena “fishtail” atau bahagian belakang terbabas kiri atau kanan sewaktu membrek. Semasa brek kecemasan diaktifkan, fungsi Emergency Stop Signal terus berfungsi menandakan keadaan bahaya pada pemandu lain. Kesemua varian mempunyai ABS – Antilock Braking System, Traction Control System dan juga Vehicle Stability Control.

Stereng

Seperti biasa, sitem stereng yang dibekalkan oleh Perodua Aruz ialah steering bantuan kuasa elektrik, dan pada halaju rendah seperti keluar dari kotak parking, steering terasa lembut dan ringan.

Ujian pusingan u ( tak sama dengan menteri buat) mendapati Perodua Aruz memiliki radius pusingan 5.2m, sangat cemerlang sekiranya diperlukan untuk memandu kereta ini di dalam kawasan sesak.

Sebagai perbandingan, radius pusingan Myvi adalah 5.1m. Namun, ingin saya ingatkan, Perodua Aruz ialah sebuah SUV tinggi, dipasang pula dengan rim 17 inchi dan tayar 215mm/60 dan bukan sebuah kereta sport. Jadi tindakbalas steering mungkin agak perlahan jika dibandingankan dengan Waja Turbo anda.

Suspensi

Sebelum saya ulas mengenai sistem suspensi Perodua Aruz, sekali lagi saya ingatkan Perodua Aruz ialah sebuah kenderaan yang dibina atas chassis ladder frame. Jadi tingkah laku dan tindak balasnya tidak akan sama dengan sedan biasa.

Bagi pemandu yang biasa membawa Toyota Avanza, saya rasa bagaimana chassis bertindakbalas dengan permukaan jalan adalah sama. Kelebihan utama chassis ladder frame ini ialah ia sangat tegap dan sangat sesuai untuk menampung beban dari kereta dan disalurkan pada permukaan jalan.

Walupun jalan tidak rata, ia tetap tegap tanpa ada bunyi berkeriut. Chassis ini dipilih kerana, Toyota Rush yang dibangunkan oleh Toyota mendapati kebanyakan jalan bagi pasaran utama iaitu Indonesia tidak memiliki permukaan jalan yang baik.

Jalan tak berturap, jalan berbatu, jalan berlopak akan mendera chassis monocoque, tapi bagi chassis ladder frame perkara ini sangat biasa. Jadi sewaktu mula-mula memandu Perodua Aruz, anda akan mendapati bahawa tindakbalas chassis ini keras, kerana chassis ini tidak melentur seperti chassis monocoque.

Bagi melembutkan pergerakan, suspensi depan menggunakan sistem McPherson dan pada bahagian belakang menggunakan gandar hidup dengan pegas gegelung (Live Axle With Coil Spring) dan dibantu oleh penyerap hentak yang lebih panjang dan lasak.

BACA: PANDU UJI TOYOTA C-HR

Terima kasih pada Perodua, Perodua Aruz turut hadir dengan ciri anti roll bar, bagi mengurangkan badan Perodua Aruz beroleng ketika mengambil selekoh

Hasilnya, walaupun pada mulanya chassis terasa keras, tetapi sistem suspensi akan menyerap segala lubang dan bonggol di permukaan jalan dengan sangat baik.

Pada kelajuan 70km/h, sangat sedikit kabin Perodua Aruz tergoncang atau terganggu dengan permukaan jalan. Salah satu sebab yang menyumbang pada keselesaan ini ialah penggunaan bahan penyerap gegaran dan bunyi yang dipasang pada tempat-tempat strategik di chassis kereta dan juga kabin kereta.

NVH – Bunyi, Getaran dan Kekasaran

Biasanya, NVH bukanlah kekuatan bagi kebanyakan produk keluaran Perodua, kecuali Myvi terbaru dan juga Perodua Aruz. Pada kelajuan 110km/h, bacaan bunyi dalam kabin tempat duduk belakang ialah sekitar 64dB.

Bunyi tayar juga adalah sangat minima, malahan jika tayar melalui lopak atau bonggol jalan, gegaran dan yang terhasil bunyi sangat minima. Namun, sekiranya unit penyaman udara bahagian tengah dibuka, bunyi kipas semasa beroperasi sedikit mengganggu perhatian pemandu. Kemungkinan besar, unit penyaman udara yang dekat dengan kepala pemandu

Ruang

Terdapat 7 tempat duduk yang disediakan dengan susunan 2-3-2. Bagi varian AV, kusyen adalah lengkap dengan balutan kulit.

Sekiranya semua tempat duduk digunakan, anda masih ada ruang bagasi seluas 213 Liter. Sekiranya kedua dua tempat duduk barisan ketiga dilipat, ruang bagasi adalah sebesar 514 Liter. Cukup besar untuk memuatkan basikal lipat.

Barisan tempat duduk ketiga boleh dilipat secara 50/50, untuk dijadikan 6 tempat duduk. Barisan kedua, boleh dilipat ke depan dengan hanya satu suis sahaja, lebih baik daripada barisan tempat duduk kedua Perodua Alza.

Bagi kerusi pemandu, span yang digunakan cukup untuk menampung badan saya setinggi 165cm. Kerusi pemandu adalah selesa dengan kehadiran bolster pada bahagian penyandar dan juga pada bahagian tempat duduk.

Tempat duduk Perodua Aruz boleh disusun dalam pelbagai konfigurasi seperti:

  1. 7 tempat duduk dengan kapasiti bagasi 213 liter
  2. 6 tempat duduk dengan satu tempat duduk belakang yang boleh dilipat untuk ruang kargo yang lebih besar
  3. 5 tempat duduk dengan kapasiti bagasi 514 liter
  4. Susunan 1+1+1 untuk ruang kargo panjang semasa membeli belah di IKEA

Sekiranya terdapat pemandu dengan ketinggian 180cm berada di depan saya, masih ada ruang kira-kira 7cm antara lutut saya dengan penyandar kerusi pemandu.

Manakala bagi tempat duduk barisan ketiga, masih mampu memuatkan badan saya, tetapi bahagian kaki sedikit tergantung. Pada hemat saya, hanya sesuai untuk perjalanan maksima selama sejam. Lebih baik dibiarkan untuk kanak-kanak.

Ergonomik bagi Perodua Aruz mempunyai beberapa kelebihan seperti:

  • Steering boleh dilaraskan ke atas dan bawah
  • Ketinggian tempat duduk pemandu boleh dilaras
  • Meter halaju dan meter RPM mempunyai tona yang lembut pada mata, tapi cukup terang di bawah matahari terik
  • tombol gear selari dengan tangan, tidak meletihkan pergelangan tangan.
  • barisan tempat duduk kedua boleh ditolak ke depan atau ke belakang. Malah tempat penyandar boleh dicondong pada sudut 60 darjah. Selesa untuk perjalanan jauh

Keselesaan Penumpang

Beberapa fitur yang dibawa dari model Myvi ke Perodua Aruz bagi menambah keselesaan penumpang seperti

1- poin punca kuasa untuk telefon pintar di bahagian depan, barisan kedua (ada pada kerusi pemandu) dan juga punca kuasa 12v pada tempat duduk belakang

2. penyangkut barang pada barisan tempat duduk kedua

3. Sistem Smart Tag terbina dalam

4. Suis penyaman udara digital dengan sistem memori

5. Sistem kemasukan tanpa kunci dan butang tekan hidup

6. Peralatan kecemasan menukar tayar disimpan dibawah tempat duduk hadapan bagi memaksima ruang

Fitur-Fitur Baru Diperkenalkan

1. Lampu LED depan dengan fungsi Follow me Home dengan sensor penghidup automatik. Lampu akan menyala secara automatik apabila keadaan gelap

2. Unit penyaman udara pada barisan tempat duduk kedua

3. Unit perakam perjalanan digital, dipasang pada cermin hadapan

4. Fungsi lipat kerusi kedua dengan satu suis sahaja

5. Semua tempat duduk mempunyai perehat kepala

6. Pencahayaan pada suis yang dipasang pada steering apabila lampu dinyalakan

7. Corong penyaman udara di bahagian papan pemuka khusus untuk penumpang belakang

8. Cermin solek pada “sunvisor” dengan lampu pencahayaan

9. Tombol gear dengan “gated shift”

Keselamatan

Perodua Aruz didatangkan dengan sistem ASA (Advanced Safety Assist 2.0) yang merangkumi sistem amaran pra-perlanggaran, sistem brek automatik perlanggaran dengan pengesan pejalan kaki, sistem amaran pelepasan hadapan dan juga sistem pembatalan pedal minyak.

Bagi sistem amaran pra-perlanggaran, sistem ini beroperasi dalam julat 4-80km/h (Myvi hanya kelajuan maksima  30km/h). Sekiranya sistem ASA mengesan pemandu gagal membrek walaupun amaran telah diberikan, sistem akan membrek secara automatik.

Saya telah menguji kesemua sistem di atas, dan sistem ini berfungsi dengan cemerlang sekali. Namun atas faktor masa, saya tidak sempat menguji sistem pengesan pejalan kaki.

Sekiranya anda mempunyai YB yang mungkir janji, kekasih dan pasangan hidup yang curang, sila hantar pada saya untuk ujian pelanggaran pejalan kaki secara percuma.

Senarai peralatan yang perlu ditambah

Saya akan senaraikan beberapa ciri yang perlu ditambah bagi menambah baik Perodua Aruz. Ciri-ciri ini mungkin boleh dijual sebagai aksesori rasmi Perodua

  1. Side step atau pemijak sisi bagi membantu penumpang masuk dalam kenderaan. Dengan ketinggian 220mm dari permukaan tanah, agak susah bagi kanak-kanak dan juga orang tua memasuki kenderaan.
  2. Perehat tangan pada bahagian kusyen pemandu, sangat selesa bagi perjalanan jarak jauh.

Kesimpulan

Honda BRV akan menang dari segi kelincahan pemanduan dan kecekapan kotak gear, namun berharga kira-kira RM11,000 lebih mahal dan tiada fungsi ASA.

Manakala pilihan lain seperti Perodua Alza, walaupun lebih murah namun ruang dalaman lebih sempit dan masih menggunakan enjin DVVT 1500cc dengan teknologi usang zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Perodua Aruz ni sangat sesuai untuk pemandu yang ingin menaiktaraf ke sebuah kenderaan keluarga dengan ciri-ciri sebuah SUV 7 tempat duduk.

Fungsi ASA 2.0 tidak terdapat pada kenderaan lain kecuali pada Toyota Rush yang berharga RM20,000 lebih mahal. Pada harga RM77,600 ia adalah SUV yang sarat dengan nilai.

Sekiranya ada orang lain yang membandingkan Perodua Aruz dengan SUV lain yang lebih mahal seperti Honda CRV, Proton X70 atau Toyota Fortuner, maka dermakanlah beliau 3 kotak kismis minda dan mandikan dia dengan air kolah masjid yang diazankan 5 kali sehari. Semoga nanti dia akan sedar, Perodua Aruz ni sangat berbaloi pada harga yang ditawarkan.

BACA: PANDU UJI PROTON SAGA 1.3 CVT

BACA: PANDU UJI VW GOLF, R-LINE

Google ads
Back to top button