
PASUKAN TOYOTA & HYUNDAI SUDAH BERSEDIA DENGAN BARISAN PELUMBA BAGI WRC MUSIM 2023
Sebaik sahaja tamat kempen WRC musim 2022, sudah tentu pasukan yang bertanding akan kelihatan sedikit sibuk untuk mengesahkan barisan pemandu / pelumba bagi menduduki kerusi tempat duduk jentera Rally1 masing – masing.
Pasukan Toyota Gazoo Racing yang memenangi kejuaraan berganda musim ini pemandau & pengeluar akhirnya telah mengesahkan barisan pemandu utama bagi menghadapi kempen WRC musim 2023. Sudah tentu Kalle Rovanpera dan juga Elfyn Evans akan menjadi dua pemandu utama seperti musim ini.
Menariknya apabila pemandu dari Jepun Takamoto Katsuta telah dinaikkan pangkat bagi menyertai pasukan utama Toyota Gazoo Racing. Bakat Takamoto Katsuta ditemukan melalui program Toyota WRC Challenge Program pada tahun 2015. Sebelum ini Takamoto Katsuta hanya berlumba di bersama Toyota Gazoo Racing Next Generation, pasukan kedua yang ditubuhkan oleh Toyota sendiri. (Menariknya jentera rali Toyota GR Yaris Rally1 ini menggunakan livery yang sama seperti pasukan utama).

Sungguh pun demikian, Takamoto Katsuta hanya akan bergilir memandu jentera ketiga pasukan utama Toyota ini bersama Sebastian Ogier. Sang lagenda ini masih mahu berlumba secara separuh masa sahaja walau pun terbukti masih lagi mampu bersaing secara kompetetif dengan kelompok utama setiap kali saingan. Menurut Sebastian Ogier, beliau lebih gembira berlumba dengan cara sebegini kerana dapat lebih meluangkan masa bersama keluarga.
Sementara itu, pasukan Hyundai Motorsport juga telah bersedia dengan barisan pelumbanya bagi menghadapi saingan musim hadapan. Sudah tentu Thierry Neuville akan menjadi sandaran utama bagi mengetuai jentera Hyundai i20 N Rally1.

Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ott Tanak, mereka telah berjaya mendapatkan Esapekka Lappi bagi memandu jentera kedua pasukan. Esapekka Lappi yang sebelum ini memandu untuk pasukan Toyota Gazoo Racing telah mempamerkan pemanduan yang cemerlang apabila berjaya menaiki podium musim ini walau pun hanya berlumba separuh masa setelah berkongsi jentera Toyota GR Yaris Rally1 bersama Sebastian Ogier.
Menarik tentang Esapekka Lappi, beliau sebelum ini turut pernah bersama pasukan M-Sport Ford, menjadikan beliau pernah beraksi bersama tiga pasukan utama WRC. Sudah tentu pengalaman beliau ditagih apatah beliau kini bakal beraksi musim penuh setelah melakukannya kali terakhir pada tahun 2020 yang lalu.

Sementara itu, Craig Breen turut bakal beraksi bersama pasukan Hyundai Motorsport setelah berpisah daripada pasukan M-Sport Ford. Untuk rekod, Craig Breen pernah beraksi bersama pasukan Hyundai sebelum ini. Ibarat sirih pulang ke gagang. Cumanya, Craig Breen bakal berkongsi jentera ketiga bersama Dani Sordo yang turut masih mahu hanya beraksi separuh masa sahaja.
Sekarang ini cuma tinggal pasukan M-Sport Ford sahaja yang masih belum mengesahkan barisan pelumba mereka walau pun tarikh daftar untuk perlumbaan pembukaan hanya tinggal sebulan sahaja daripada sekarang.
BACA :
BACA :