
BATMOBILE BAHARU MUNCUL DALAM TRAILER THE BATMAN
Trilogi Dark Knight memberi gambaran realistik mengenai superhero ataupun adiwira ikonik komik DC yang diangkat menjadi sebuah filem.
Begitupun, ramai berpendapat bahawa pelakon Robert Pattinson yang membintangi filem terbaharu Batman tidak mampu membawa watak adiwira tersebut dengan baik.
Mungkin peminat Batman boleh ‘menarik’ balik andaian itu apabila trailer terbaharu menunjukkan sisi gelap pelakon yang pernah menjadi kegilaan wanita melalui lakonan filem Twilight.
Adegan Batman memukul penjenayah tanpa belas kasihan menyerlahkan karakter adiwira yang terkenal dengan sifat bengis dan marah ini.
Dalam trailer itu, bukan sahaja lakonan penuh kemarahan Pattinson menjadi perhatian tetapi jentera Batmobile, kostum dan Batcave baharu.
Eh dah macam nak reviu filem pula. Takpe kan sekali-sekala. Sebelum ini keluar mengenai Batmobile tetapi kali ini ia muncul dalam trailer.
Jentera terbaharu ini cukup berbeza berbanding Tumbler yang terkenal dalam The Dark Knight Trilogy mahupun Batmobile dari Batman v Superman: Dawn of Justice.
Sekali pandang, Batmobile terbaharu ini, mengingatkan kepada jentera muscle car seperti dalam filem Mad Max dan Dodge Charger milik Dom lakonan Vin Diesel (Fast and Furious).
Batmobile kali ini lebih realistik berbanding penampilan jentera dalam filem terdahulu malah ia mengingkatkan kepada kereta di dalam komik.

Dalam trailer ini, penonton boleh melihat api keluar dari bahagian belakang Batmobile dan ia sesuai dengan tema gelap Batman dan penggambaran filem baharu ini.
Ash Thorp merupakan pereka jentera baharu Batmobile ini. Dia pernah terlibat dalam filem-filem besar seperti Amazing Spider-Man 2, Total Recall, Person of Interest, Assassin’s Creed dan banyak lagi.
Bagaimanapun, filem The Batman ini dijangka akan menjengah pawagam pada Oktober tahun hadapan untuk menonton aksi Batman bersama Batmobile terbaharu ini. – agensi.