Artikel Pilihan

PEMANDU KERETA ELEKTRIK PERLUKAN LESEN KHAS? RASANYA HANYA PERLU PERTIMBANGAN WARAS.

Pada awal penghasilan kereta elektrik terutama bagi model Tesla, salah satu USP atau Unique Selling Point bagi kereta elektrik ialah ia mampu memecut dengan pantas. Sebagai contoh Tesla Roadster mampau memecut 0-100km/jam dalam masa 3.7 saat sahaja

Angka ini meletakkan Tesla Roadster sebaris dengan supercar yang lain seperti Jaguar X7 220, Porsche 911 GT2 993 1995, Ferrari F50, dan juga Mercedes Benz CLK GTR yang menggunakan enjin V12 6900cc. Walaupun motor elektrik ini nampak ringkas, ia adalah sangat berkuasa.

Salah satu kelebihan yang ada pada motor elektrik ialah ia mampu menjana tork yang sangat tinggi pada putaran enjin yang rendah. Sebagai contoh GWM Ora 07 mampu menjana 340Nm tork dari satu motor elektrik sahaja.

Ini bermakna sebaik sahaja anda tekan pedal, 340Nm tersebut sudah tersedia dan boleh digunakan. Bagi enjin pembakaran dalam dengan aspirasi normal, angka ini mungkin tersedia pada 4000 RPM. Sebaik sahaja anda menekan pedal, mungkin anda perlukan 2 saat untuk mencapai 4000 RPM.

Bagi enjin turbo, angka ini mungkin tersedia antara 1500-2500 RPM. Pendek kata, memang enjin pembakaran dalam memerlukan masa untuk memecut. Ciri ini digunakan sebagai USP bagi menjual kereta elektrik, dengan menghasilkan pecutan yang menyamai kereta sport atau supercar

Keadaan ini menyebabkan pemandu yang baru memandu kereta elektrik naik “syeh”, teruja dengan kemampuan pecutan kereta elektrik mereka yang baru dibeli dengan harga yang jauh lagi murah berbanding dengan supercar ataupun sport car

Kalau boleh setiap hari memang nak tekan rapat ke lantai semasa memandu.

Namun pada masa yang sama mereka gagal memahami satu perkara fizik yang asas. Setiap benda yang bergerak perlu berhenti, perlu membrek dan mengambil jarak yang tertentu untuk membrek sehingga berhenti sepenuhnya.

Kalau anda biasa membaca risalah jualan kereta elektrik, hampir semua pengeluar akan meletakkan angka nilai kuasa kuda, tork, masa pecutan 0-100km/jam dan halaju tertinggi. Tapi hampir kebanyakan risalah jualan tidak menyatakan berapa jarak yang diperlukan untuk berhenti sehingga statik, dan masa yang diperlukan untuk berhenti dari 100km/jam ke 0km/jam

Penulis tidak pasti kenapa maklumat tersebut tidak dinyatakan, tetapi ada satu maklumat yang menarik perhatian penulis iaitu berat kereta elektrik. Nilai berat ini pasti akan disebut setiap kali melakukan video pandu uji.

Sebagai contoh MG4 Electric XPower datang dengan berat (Gross Vehicle Weight) mencapai sehingga 2261kg, jauh lebih tinggi daripada kereta dengan enjin yang sama saiz dengannya. Kebanyakan berat ini pula datang daripada bateri NMC (Nickel Manganese Cobalt) yang membekalkan kuasa elektrik pada motor

Disebabkan mata kita sudah biasa melihat kereta yang sama saiz dan ringan, kita sering membuat andaian yang kereta elektrik ini adalah ringan. Namun ia adalah berat dan berat ini sebenarnya mengganggu dinamik pemanduan kereta elektrik.

Semakin berat kenderaan, semakin jauh jarak yang diperlukan untuk berhenti hingga statik. Keadaan ini terjadi apabila kereta elektrik dipandu pada halaju tinggi, ia akan menghasilkan momentum yang tinggi

Momentum yang terhasil ini akan menyebabkan kereta elektrik sukar untuk diberhentikan dan sukar dikendalikan ketika melalui selekoh. Ia akan menyebabkan EV terasa seperti dilempar keluar dari laluan. Paling menarik kebanyakan kereta sport tiada masalah ini, kerana kereta sport menggunakan enjin petrol dan petrol yang jauhg lebih ringan

Cuba anda pandu kereta elektrik melalui jalan yang berselekoh tajam dan bandingkan catatan masa dengan kereta sport biasa. Cuba cek kereta mana yang akan mengalami masalah brake fade yang lagi cepat?

Isu kedua berkenaan dengan berat ialah, tayar kereta elektrik akan haus dengan cepat. Kebanyakan pengguna kereta elektrik di Amerika mengeluh dengan kadar kekerapan mereka untuk menukar tayar baru, adakalanya pada setiap 10,000 batu atau 16,000km

Tayar yang haus pula akan menjejaskan kualiti pemanduan dalam hujan. Memandu kereta elektrik dalam hujan juga ada cabaran yang tersendiri. Bagi mengawal semua tork yang dihasilkan, kebenayakan pengeluar cenderung untuk menggunakan tayar yang lebar pada kereta elektrik.

Tayar yang lebar sebenarnya lebih mudah untuk mengalami fenomena aquaplaning berbanding dengan tayar yang kurus. Secara umumnya terdapat 2 faktor rekaan kenderaan yang mempengaruhi aspek aquaplaning

Pertama ialah berat kenderaan, semakin berat semakin sukar untuk mengalami aquaplaning. Tayar yang kurus pula boleh menyingkirkan air dengan baik berbanding dengan tayar lebar. Sebab itulah anda lihat lori dengan selamba boleh dipandu dengan laju daripada kereta biasa di dalam cuaca hujan

Sebab tayar yang kurus dan berat. Bagi kereta elektrik, kelebihan berat tadi telah dikurangkan apabila ia terpaksa menggunakan tayar lebar, menyebabkan ia boleh mengalami aquaplaning ketika dipandu. malah ada pemandu F1 yang mengalami kemalangan dan kehilangan nyawa akibat aquaplaning

Brek di atas permukaan jalan basah juga memerlukan jarak yang jauh lebih panjang berbanding dengan permukaan yang kering. Permukaan jalan akan dibanjiri dengan molekul air, yang bertindak mengurangkan pekali geseran antara jalan dan tayar sekaligus menyebabkan jarak untuk menghentikan kereta semakin bertambah

Bayangkan kalau anda pandu kereta elektrik dengan halaju tinggi pada hari hujan, secara tidak langsung anda menjadikan kereta elektrik anda sebagai projektil dengan tenaga kinetik yang tinggi dan sukar untuk dihentikan dengan segera.

Mungkin apabila digabungkan dengan semua faktor di atas seperti berat kereta elektrik, laju yang tinggi, tayar yang sudah haus dan tayar yang lebar menjadikan faktor kemalangan yang tular beberapa hari lepas.

Sebenarnya kejadian ini boleh dielakkan dengan mudah. Rendahkan ego, letak empati pada pemandu dan pengguna jalanraya yang lain, bertimbang rasa dan hormati pengguna jalan raya lain. Bayangkan kalau kereta elektrik tersebut terlanggar penunggang motosikal dan menyebabkan kematian.

Mungkin pada waktu itu pemandu tidak akan membuat lawak lagi.

Google ads
Back to top button